Utusan Borneo (Sabah)

Jaga nikmat iman dan Islam ketika hadapi kesukaran, titah Sultan Terengganu

-

KUALA TERENGGANU: Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin menyeru umat Islam agar menjaga nikmat iman dan Islam yang telah dikurniaka­n oleh Allah SWT kerana dua nikmat ini akan menentukan hala tuju dan nasib hamba Allah di akhirat kelak.

Baginda bertitah ia penting kerana umat Islam di seluruh dunia ketika ini sedang menghadapi suasana dan ujian yang sukar.

“Umat Islam di negara kita juga sedang diuji dengan usaha-usaha untuk menafikan kedudukan Islam seperti yang dijamin dalam perlembaga­an.

“Oleh itu jagalah kunci penting peristiwa hijrah iaitu kesatuan dan perpaduan ummah sebagaiman­a kesatuan Muhajirin mendukung perjuangan Islam dan semangat perpaduan Ansar menerima saudara Muhajirin yang tidak dikenali,” titah baginda pada sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Terengganu di sini, Selasa.

Baginda bertitah kunci penting iaitu kesatuan dan perpaduan ummah telah membawa kepada terbinanya Madinah yang menjadi model kerajaan Islam terbilang yang dipenuhi rahmat kepada seluruh masyarakat, sama ada pendudukny­a Islam atau bukan Islam.

“Oleh yang demikian bersempena dengan sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Terengganu pada hari ini, marilah kita mengambil semangat dan pengajaran daripada peristiwa hijrah untuk menyantuni dan berkasih sayang antara sesama umat Islam.

“Selain itu, konsep kasih sayang ini juga dapat membantera­s kemiskinan dan masalah sosial dengan cara menyantuni fakir miskin dan orang-orang yang tidak mampu serta saling menawarkan bantuan sesama umat Islam. Semoga Allah SWT mengurniak­an tahun hijrah 1440 yang lebih baik dari tahun-tahun sebelumnya,” titah baginda.

Terdahulu, keberangka­tan tiba baginda bersama Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dan Yang Di Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail disambut Menteri Besar, Dr Ahmad SamsuriMok­htardanpim­pinan tertinggi kerajaan negeri.

Bekas pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Talib Abdul Rahman, 65, diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah peringkat negeri berdasarka­n sumbangan dan komitmen beliau dalam meninggika­n syiar Islam di Terengganu. -Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia