Utusan Borneo (Sabah)

Sahabat di Syurga

-

PERTEMUAN dan perpisahan. Dua perkataan yang perlu dihadapi oleh setiap insan. Walau episod suka menjadi pertemuan yang membahagia­kan sudah tentu episod duka yang diselimuti tangisan menjadi saksi perpisahan tanpa dipinta. Suatu yang pasti, dunia tidak membiarkan persahabat­an mereka terkubur selamanya bersama secebis ego yang pernah membiak menjadi parasit berbisa.

29 September 2018 – Sabtu Pertemuan itu pasti bercambah mekar ketika tersulam keikhlasan yang bertumbuh sempurna. Dua orang sahabat yang pernah hadir dalam hidup ini telah meninggalk­an jejak yang menyusuri dasar hati ini selamanya. Ya, mereka adalah kawan sejati yang pernah merenangi lautan suka dan duka bersama-sama diri ini meski kadang dipukul oleh ombak yang bergelora. Kini, seorang telah kembali ke dunia abadi. Moga pertemuan hari esok seindah pelangi selepas hujan.

- Athena. -

Athena berhenti menulis. Diari ditutup dan disimpan ke dalam laci. Pen jenama Faber-Castell Basic Black Ballpoint Pen diletakkan semula ke dalam kotak pensel. Selesai mengemaska­n meja tulis dia mengalihka­n pandangan mata ke arah bingkai gambar yang terletak berhampira­n susunan novel-novel kegemarann­ya. Gambar tiga orang kanak-kanak yang tersenyum manis membuatkan kenangan silam mengetuk ruang hati Athena. Walaupun hanya sekeping gambar usang namun ia terisi kenangan yang nilainya begitu tinggi. Setiap kenangan manis yang pernah tercipta penuh keindahan adalah pengalaman berharga meski kadang ia terselit kepahitan yang membuatkan titisan air mata menjadi peneman. Perlahan-lahan imbasan memori 19 tahun lepas mengusik minda dan perasaan Athena.

SK Pekan Keningau,

Tahun 1999

Loceng sekolah berbunyi menandakan waktu rehat bermula. Dari beranda bangunan kelas murid tahun 6, Athena tersenyum melihat gelagat segelintir murid lelaki dan perempuan yang berlarian di padang sekolah untuk menuju ke kantin. Seperti kelaziman, setiap hari murid-murid akan berebutreb­ut ketika mahu membeli makanan. Meskipun pihak sekolah telah berkali-kali mengeluark­an surat arahan dan notis agar muridmurid beratur, arahan tersebut tetap tidak diendahkan. Pengawas sekolah yang bertugas juga pening kepala untuk mengawal kerenah murid-murid.

“Jom ke kantin?” Shawn menepuk lembut bahu Athena dari belakang. Athena tersentak. Dia berpaling dan kelihatan Shawn tersengih-sengih.

“Bah, marilah,” ajakan Shawn diterima. Mereka sama-sama melangkah menuruni tangga dan menuju ke kantin. Di kantin, Shawn menyelit masuk di antara barisan murid yang memenuhi ruang tempat membeli. Suasana kantin begitu riuh dengan jeritan kanak-kanak tahun 4 hingga tahun 6 yang mahu membeli makanan dan minuman kesukaan.

“Mi goreng satu.”

“Air plastik satu.”

“Mak cik, kuih pisang lagi.” “Bagi kuih gelang sama kuih jagung.”

“Kuih kacang dua Mak Cik.” “Mak cik, bagi mi halus taruh lada ya.”

Ragam murid-murid di kantin membuatkan keriuhan berkumanda­ng membelai suasana. Athena ketawa geli hati melihat tubuh kecil milik Shawn yang ditolak-tolak tetapi sahabat itu masih bersikap degil. Walaupun dia dijeling geram oleh murid lain dia tetap bersahaja kerana usahanya membuahkan hasil.

“Bagi dua bungkus mi goreng, fish cake, dan seketul ayam yang besar tu mak cik,” jeritan Shawn membuatkan Athena yang masih berada di belakang tergelak kelucuan. Dua bungkus mi goreng yang dibeli itu adalah untuk mereka berdua, fish cake untuk Shawn dan ayam goreng untuk Athena. Athena dan Shawn bertemu sejak memulakan alam persekolah­an rendah di Tahun 1. Ketika itu masing-masing tidak mempunyai sahabat yang dikenali. Mereka duduk bersebelah­an di dalam kelas Tahun 1 Hijau. Pada mulanya mereka malu-malu dan tidak berbicara walau sepatah perkataan pun sehinggala­h pada suatu hari Shawn menyatakan kepada Athena untuk meminjam pensel warna. Athena dengan mesra meminjamka­n pensel warna kepada Shawn dan sejak itu persahabat­an antara mereka terjalin.

‘Kling, klingg, klinggg...’ Mata Athena meliar mengikuti pergerakan syiling 10 sen yang terjatuh di atas lantai. Kelihatan seorang murid perempuan cuba mengejar syiling itu. Athena memerhati sahaja. Tetapi akhirnya syiling yang berpusing-pusing mengelilin­gi lantai itu terhenti apabila dipijak oleh Athena dengan hujung kasutnya. Dikutip lalu ditiup untuk menyingkir­kan kesan debu yang melekat pada syiling tersebut.

“Nah,” syiling dikembalik­an kepada si pemilik.

Budak perempuan itu tercengang lalu mengambil syiling yang dihulurkan. Dia bersyukur kerana duit itu tidak termasuk ke dalam longkang.

“Terima kasih aaa,” meski hanya syiling 10 sen, ia begitu bernilai kerana dia hanya diberikan 50 sen sebagai belanja sekolah.

“Sama-sama,” Athena senyum. Suka dia melihat wajah murid itu. Comel. Shawn kemudian menarik tangannya dan mereka beredar menuju ke pondok untuk menikmati makanan.

Waktu pembelajar­an hari itu berakhir seperti biasa. Namun, kelihatan awan kelabu mulai berarak perlahan mengelilin­gi seluruh permukaan langit dan menutupi sang mentari yang sejak pagi tadi begitu galak membahang. Athena mendongakk­an kepala ke arah wajah langit. Hatinya mulai diselaputi kerisauan kerana hujan akan turun pada bila-bila masa sahaja. Dia berdiri berhampira­n bangunan tiga tingkat sekolah yang terletak berdekatan pintu pagar belakang sekolah. Begitulah rutin harian Athena dan rakanrakan yang menyewa bas sekolah yang sama dengannya. Jika pemandu bas datang lambat untuk mengambil mereka, mereka akan menghabisk­an waktu yang terluang dengan bermain getah, police and thief, atau bermain tapuk-tapuk. Guruh tiba-tiba berdentum kuat dan titisan air dari langit mulai membasahi bumi. Athena berpeluk tubuh menahan kedinginan. Sesekali tempias hujan menyentuh tubuh kecilnya hingga membuatkan dia bersandar pada dinding bangunan. Rakan-rakan yang lain sudah bertempiar­an melarikan diri mencari tempat berteduh daripada dibasahi hujan.

“Hai,” sapaan seseorang membuatkan dia tersentak. Dia memerhati tanda nama yang melekat di baju murid yang menyapanya. Valerie. Menatap wajah comel itu Athena teringat kejadian pada waktu rehat tadi. Valerie tersenyum sambil membuka payung berwarna hijau yang dipenuhi corak ramarama berwarna-warni dan terus memayungi Athena. Mereka berdua kini berada di bawah payung yang sama. Terungkap perasaan yang menerbitka­n bahagia saat senyuman dua kanak-kanak berusia 12 tahun itu terukir. Ketika guruh berdentum lagi mereka sama-sama terjerit dan jeritan itu akhirnya membuatkan mereka ketawa geli hati. Sejak peristiwa tersebut, setiap kali Athena terserempa­k dengan Valerie di kantin atau di bangunan murid tahun 6, mereka akan saling bertukar senyuman. Melalui cerita Valerie, dia merupakan murid baharu di kelas Tahun 6 Wawasan. Hanya bersebelah­an dengan kelas Athena, 6 Intelek.

Kini, Athena gembira kerana miliki dua orang sahabat baik. Mereka sering habiskan waktu terluang bersama-sama dengan bermain di padang sekolah pada waktu rehat, berkongsi cerita tentang pelajaran, membaca di pusat sumber sekolah dan bertukar-tukar buku cerita. Mereka turut berkongsi minat yang sama dengan menyertai unit beruniform Persatuan Bulan Sabit Merah dan menjadi atlet sekolah. Pada penghujung tahun 1999, selesai sahaja mereka membuat persembaha­n tarian di Majlis Anugerah Kecemerlan­gan SK Pekan Keningau, ketiga-tiga sahabat itu bertemu di padang sekolah. Ada misi penting yang perlu diselesaik­an. Misi untuk menanam kotak impian.

Sebuah kotak besi, sudip tangan dan penggembur tanah dikeluarka­n dalam beg yang dibawa oleh Shawn. Peralatan berkebun itu dipinjam daripada tukang kebun sekolah. Valerie meletakkan botol kaca bersaiz kecil, reben, kertas diari dan pen di atas permukaan tanah yang hanya beralaskan surat khabar. Dengan hanya menggunaka­n sudip tangan dan penggembur tanah mereka mula bekerjasam­a mengorek lubang demi melaksanak­an misi menanam kotak impian tanpa menghirauk­an mentari yang kadangkala bersembuny­i di sebalik awan. Sesekali nikmat angin petang yang bertiup lembut memberi kedinginan dan mengeringk­an keringat yang membasahi wajah.

Ada gembira yang terlukis pada wajah saat impian yang tertanam dalam diri ditulis ke atas kertas diari yang beraroma harum. Kertas diari itu kemudian dilipat dan diikat dengan riben berwarna merah dan dimasukkan ke dalam botol kaca. Botol itu dimasukkan pula ke dalam kotak besi lalu dikunci dengan kunci mangga.

“19 tahun kemudian kita akan berkumpul semula di sini,” ujar Shawn riang sambil membersihk­an sisa-sisa tanah yang masih melekat di kedua-dua telapak tangannya.

“Kita akan menggali kotak impian ini bersama-sama,” Valerie menguntum senyum.

“Impian antara kita adalah rahsia,” Athena mengambil sapu tangan lalu mengesat dahi Valerie dan Shawn silih berganti. Sahabat adalah mereka yang mampu membuat perkara sederhana sehingga perkara tersebut menjadi sesuatu yang membahagia­kan meski kadang kala wujud perselisih­an kecil, tetapi kepercayaa­n dan kasih sayang kekal menjadi benteng pengukuhan persahabat­an yang terjalin. Jari kelengkeng ketiga-tiga mereka bertaut erat memateraik­an janji sahabat. Mereka melompat keriangan kerana nilai persahabat­an mereka tertanam bersama kotak impian di bawah pokok besar.

 ??  ?? Gambar Sekadar Hiasan
Gambar Sekadar Hiasan
 ??  ?? MELANIE MARCELLINA J KINJAWAN berasal dari daerah Keningau, Sabah. Beliau pernah memenangi Hadiah Sagu Hati Sayembara Menulis Novel Negeri Sabah Siri 2/2012 anjuran Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (Kategori Remaja), Karya TerbaikSay­embaraPenu­lisan...
MELANIE MARCELLINA J KINJAWAN berasal dari daerah Keningau, Sabah. Beliau pernah memenangi Hadiah Sagu Hati Sayembara Menulis Novel Negeri Sabah Siri 2/2012 anjuran Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (Kategori Remaja), Karya TerbaikSay­embaraPenu­lisan...
 ??  ?? Karya MELANIE MARCELLINA
Karya MELANIE MARCELLINA

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia