Enam bot penumpang ditahan Maritim Malaysia
KOTA KINABALU: Sebanyak enam bot penumpang ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam operasi khas pada Sabtu.
Pengarah Maritim Daerah Kota Kinabalu Laksamana Pertama Maritim Adam Aziz berkata, kesemua bot terbabit didapati melanggar syarat sah lesen di bawah Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS).
Menurutnya, operasi khas berkenaan dijalankan di perairan Rampayan Kota Belud.
Katanya, pemeriksaan ke atas semua bot berkenaan dibuat sekitar jam 10 hingga 11.30 pagi.
“Tiga daripada bot terbabit disyaki membawa penumpang melebihi daripada yang ditetapkan, manakala tiga bot lagi masing-masing gagal menunjukkan lesen dan nama juragan tidak seperti dalam lesen bot.
“Kesemua bot penumpang itu diiring masuk ke Jeti Teluk Usukan Kota Belud untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.
Beliau berkata, operasi yang disertai enam pegawai dan 10 anggota Maritim Malaysia itu adalah operasi khas sempena perayaan Tahun Baharu Cina.
Operasi itu jelasnya, bagi menentukan bot-bot pelancong yang berdaftar dan berlesen mematuhi syarat yang ditetapkan.
Adam berkata, ia juga bagi memastikan keselamatan pelancong sentiasa dititikberatkan oleh pengusaha dan pengendali bot kerana pada waktu ini ramai pelancong mengambil kesempatan bercuti ke Pulau Mantanani Kota Belud.
“Pengusaha-pengusaha bot penumpang ini mengambil kesempatan membawa penumpang yang berlebihan untuk mengaut keuntungan lebih tanpa menghiraukan keselamatan pelancong.
“Selain itu, kejadian bot penumpang karam sebelum ini tidak dijadikan iktibar dan memberi kesedaran kepada sikap pengusaha bot penumpang,” katanya.
Sehubungan itu, pihaknya akan terus melakukan operasi seumpama itu dengan menggunakan pendekatan proaktif.
Katanya, tindakan tegas akan diambil bagi memastikan kesejahteraan dan keamanan laut, terutamanya di sekitar pantai barat tidak terjejas oleh perlakuan segelintir pengusaha bot yang tidak bertanggungjawab dan mementingkan keuntungan semata-mata.