Implikasi beban tugas guru terhadap fokus pengajaran guru
SEKTOR
pendidikan memainkan peranan yang penting dalam perkembangan dan pembangunan sesebuah negara. Melalui pendidikan yang berkualiti dapat menghasilkan modal insan minda kelas pertama yang mampu berfikir secara kritis, kreatif, dan berinovasi. Selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan di Malaysia yang menekankan bahawa pendidikan sebagai suatu usaha berterusan untuk memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu bagi mewujudkan insan seimbang dan harmoni dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial berdasarkan kepercayaan kepada Tuhan.
Hasrat kerajaan ini adalah untuk melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berkeupayaan untuk mencapai kesejahteraan diri dan negara. Melalui Falsafah Pendidikan Kebangsaan ini, amat jelas menggambarkan bahawa tanggungjawab yang akan dipikul oleh seorang guru adalah berat dan memerlukan kewibaaan yang tinggi dalam mendidik anak murid agar lebih terserlah dan berdaya saing. Pelbagai cabaran akan dihadapi oleh setiap guru dalam menggalas amanah yang telah diberikan agar dapat merealisasikan hasrat negara ini.
Beban tugas yang mesti dipikul dan dilakukan oleh para guru sama ada tanggungjawab dalam bilik darjah ataupun di luar bilik darjah untuk menyelesaikan kerja-kerja persekolahan. Beban tugas ini boleh diukur dengan melihat jumlah masa yang diperuntukkan untuk menyelesaikannya. Isu beban kerja sentiasa diperkatakan dalam kalangan semua guru. Walaupun telah banyak usaha yang dilakukan namun isu ini kelhatan tidak akan selesai kerana sistem pendidikan negara sentiasa berubah dan keperluan pendidikan yang semakin meningkat dan harus dipenuhi.
Beban tugas guru di sekolah telah menjadi suatu isu yang hangat sejak sekian lama dulu. Beban tugas guru juga selalu menjadi topik kegemaran dalam kajian penyelidikan pendidikan. Rentetan dengan tugas guru yang kian bertambah lebih menarik minat para pengkaji untuk mengkaji beban tugas guru di sekolah. Tidak kurang juga apabila isu beban tugas ini sering dibincangkan di dada-dada akhbar antara yang terbaharu melalui ruangan Kosmo pada 21 Mei 2017 yang bertajuk ‘Sistem Pendidikan Musnah Jika Guru Banyak Tugas’.
Menurut pandangan beberapa pakar pendidik negara, pendidikan masa kini menghadapi banyak cabaran yang mana memerlukan persiapan guru dalam melengkapkan diri dengan kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi, menangani masalah disiplin dan gejala sosial, pengurusan sekolah yang berkesan dan menghadapi harapan menggunung masyarakat.
Dalam menangani era pendidikan abad ke-21 kini, guru menghadapi pelbagai cabaran dalam mendidik anak bangsa. Secara tradisinya, masyarakat umum sedia maklum bahawa tugas seorang guru adalah untuk mengajar dan mendidik anak murid agar mencapai objektif pengajaran dan pembelajaran yang telah ditetapkan dalam sukatan mata pelajaran yang telah dirancang. Namun, tugas guru kini bukan hanya fokus kepada mengajar dalam kelas malahan melakukan pelbagai tugas sampingan.
Tanggungjawab dan beban kerja guru yang semakin bertambah menyebabkan guru melakukan pelbagai fungsi. Dalam menjalankan tugas pendidik, guru perlu membuat perancangan pengajaran, persediaan alat-alat mengajar, menyemak buku murid, menanda kertas peperiksaan, menghadiri mesyuarat serta kursus.
Selain itu, guru juga menjalankan tugas-tugas perkeranian seperti memasukkan data murid, memasukkan markah setiap murid, hal ehwal kebajikan murid, disiplin murid, akaun persatuan dan kelas, kegiatan sukan dan kokurikulum. Beban tugas yang banyak ini menyebabkan guru semakin tertekan dan mengalami stres dan tekanan emosi.
Penambahan beban tugas ini pasti akan membawa kesan kepada mutu dan kualiti pengajaran guru. Sudah pasti yang akan menjadi mangsa adalah murud kerana mereka hanya menerima setiap pengajaran dan pembelajaran dalam kelas dan mengharapkan yang terbaik daripada guru walhal guru tidak mempunyai masa yang cukup melaksanakan tugas mengajar dengan lebih berkesan.
Ledakan arus pendidikan pada hari ini semakin mendesak golongan profesional pendidikan untuk terus bekerja keras dan lebih masa demi mencapai permintaan tinggi pendidikan. Namun begitu, kebanyakan rakyat hanya memandang bidang kerjaya guru kini adalah bidang kerja yang paling mudah dilakukan kerana hanya mengajar beberapa jam di sekolah dan mempunyai bilangan cuti yang banyak dalam setahun.
Ramai yang beranggapan, tugas sebagai guru tidak memerlukan seseorang itu bekerja untuk tempoh yang lama dan tanggungjawab mereka hanyalah untuk mendidik anak bangsa di sekolah. Walhal, hakikatnya sebenarnya kerjaya sebagai guru adalah kian mencabar kerana bukan sahaja mengajar dan mendidik murid di sekolah namun dibebani dengan pelbagai tugas bukan mengajar yang lain. Walaupun guru sentiasa dibebani dengan pelbagai tugas dan cabaran, namun semangat guru tidak pernah hilang dan luntur dalam menggalas setiap tugas yang telah diamanahkan.
Jika ditinjau secara meluas guru juga banyak mengorbankan masa di rumah bersama keluarga demi menjalankan aktiviti yang dijalankan di sekolah. Hal ini ditunjukkan apabila guru terlibat dengan aktiviti pada setiap hari Sabtu seperti aktiviti kokurikulum, keceriaan kelas, kelas tambahan, taklimat, kursus dan mesyuarat sekolah. Ini ditambah lagi apabila hari perkhemahan sekolah yang mana guru terpaksa berada di sekolah sepanjang masa dan terdapat kes tertentu yang mana guru terpaksa bermalam di sekolah.
Guru merupakan pemain utama dalam bidang pendidikan. Dalam usaha untuk menggalas segala tanggungjawab, guru perlu mempunyai semangat juang yang tinggi dalam mendepani cabaran yang dihadapi agar dapat beradaptasi dengan perubahan yang sangat pantas. Guru akan menghadapi pelbagai masalah apabila guru tidak dapat berhadapan dengan segala cabaran dalam bidang perguruan masa kini.
Berdasarkan intervensi Kementerian Pendidikan pada tahun 2012 telah melaporkan bahawa seramai 530 orang guru atau mewakili 0.218 peratus daripada jumlah guru seluruh negara telah menghadapi masalah gangguan mental. Di samping itu, melalui intervensi tersebut, di laporkan sebanyak 23.52 peratus adalah stress organisasi merupakan salah satu penyebab kepada masalah ini berlaku.
Dalam kajian lain menunjukkan, guru menduduki tangga keempat dalam menyumbang kepada faktor stress dalam bebanan kerja selepas polis, pegawai penjara dan ahli bomba. Tahap stress yang tinggi memberi tekanan kepada kepuasan kerja, keberkesanan ke atas produktiviti guru, peningkatan ketidakhadiran dan persaraan awal guru. Hal ini tidak dapat dinafikan apabila stress yang dihadapi akan memberi kesan kepada masalah kesihatan mental dan fizikal yang akan mengakibatkan penglibatan tugas akan berkurangan di samping keberkesanan tenaga guru juga akan berkurangan.
Secara tuntasnya, lambakan beban tugas guru banyak menimbulkan ketidakpuasan hati dan tekanan kepada guru. Tugas guru bukan lagi fokus kepada P&P dalam kelas malah dibebani dengan pelbagai tugas yang tiada kaitan dengan P&P. Lambakan tugas yang banyak ini bukan sahaja menyebabkan tekanan emosi guru malahan memberi kesan kepada kualiti pengajaran guru dalam kelas. Fokus mengajar guru dalam kelas juga terganggu dan secara tidak langsung akan menyebabkan objektif P&P dalam kelas terganggu.
Justeru, pelbagai pihak harus bertanggungjawab dalam membantu guru menangani masalah beban kerja sekali gus dapat memastikan kualiti pendidikan dalam negara tidak terjejas. Pelbagai langkah boleh diambil antaranya pihak pentadbir hendaklah membuat pengagihan tugas dengan adil agar kebajikan setiap guru dijaga.
Di samping itu, ibu bapa juga berperanan dalam memberi kerjasama kepada guru dalam menjaga hubungan yang baik bukan sahaja tahu mencari salah guru dan sesuka hati menuding jari kepada pihak guru. Pihak Kementerian Pendidikan juga boleh mengambil peranan dalam menyediakan perjawatan yang baharu seperti yang dilakukan di pusat pengajian tinggi awam yang mengasingkan unit kokurikulum dan kurikulum yang mana tugas kokurikulum diambil alih oleh penjawat awam yang mempunyai asas dalam kokurikulum dan bukannya daripada kalangan guru. Hal ini sekali gus dapat mengurangkan tugas guru dan membolehkan guru memberi lebih tumpuan kepada tugas akademik.