Libatkan diri dalam aktiviti keagamaan
TAWAU: Masyarakat disaran melibatkan diri dalam aktiviti berunsur keagamaan demi mengukuhkan institusi kekeluargaan dan perpaduansertamenghindardaripadaterjebak dengan gejala yang tidak bermoral.
Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Datuk Hamisa Samat berkata melibatkan diri dalam aktiviti keagamaan dapat melahirkan masyarakat yang hidup bertunjangkan agama.
Menurutnya, agama sentiasa menyeru kepada kebaikan dan menghindari perbuatan jahat serta menekankan nilai perpaduan dan keamanan untuk kehidupan yang lebih harmoni dan bertoleransi.
“Bagi umat Islam, melibatkan diri dalam aktiviti keagamaan termasuk program tilawah al-Quran bukan sahaja dapat mendengar kemerduan alunan suara para qari dan qariah tetapi juga mendapat pelbagai manfaat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Perbandaran Tawau di Dewan Serbaguna OT Jantan, Kg Tanjung Batu Darat, di sini pada Isnin.
Katanya, umat Islam bukan sahaja perlu membaca al-Quran semata-mata tetapi menghayati untuk dijadikan panduan dalam menjalani kehidupan yang penuh cabaran.
Hamisa yang juga Adun Tanjong Batu berkata al-Quran penting sebagai panduan dan penawar kepada umat Islam untuk kehidupan di dunia dan akhirat.
Sementara itu, johan qari disandang Abd Basith Harisam yang juga johan menunggu dan naib johan menjadi milik Hamzah Dun manakala tempat ketiga Mohd Salleh Basir.
Bagi kategori qariah pula, johan dirangkul Mariyam Katta dan naib johan Siti Juriah Hamzah manakala tempat ketiga Salmiah Osman.