Utusan Borneo (Sabah)

Bekas pembantu eksekutif bank dituduh curi wain AS$1.2 juta

-

NEW YORK: Seorang bekas pembantu peribadi seorang eksekutif bank di New York berdepan dengan hukuman penjara selama 10 tahun selepas dia dituduh mencuri ratusan botol wain vintaj bernilai lebih AS$1.2 juta (RM4.8 juta) daripada majikannya, kata pendakwa raya.

Nicholas De-Meyer, 40, bekerja dalam kapasiti peribadi untuk presiden dan ketua pegawai operasi bersama Goldman Sachs, David Solomon. Solomon tidak dinama-kan dalam pendakwaan itu tetapi dikenali sebagai seorang pengumpul wain mahal yang jarang sekali dibuat.

De-Meyer dituduh melakukan kecurian selama dua tahun, mencuri wain tersebut selepas menerima penghantar­an wain di pangsapuri majikannya di Manhattan, yang dia sepatutnya angkut ke bilik wain bawah tanahnya di tempat permainan golongan kaya, The Hamptons.

Antara 2014 hingga Oktober 2016, dia mencuri ratusan botol wain bernilai lebih AS$1.2 juta daripada koleksi majikannya, dengan menggunaka­n alias untuk menjual wain curi itu kepada seorang pembeli di Carolina Utara, kata pendakwa raya.

Tujuh botol yang dicuri datang dari estet di Perancis, Domaine de la Romanee-Conti, pembuat wain yang dianggap antara yang terbaik, paling mahal dan paling unik di dunia. Goldman Sachs mengesahka­n kecurian itu dikesan pada musim luruh 2016.

De-Meyer, yang bekerja untuk Solomon dari 2008 hingga 2016 tetapi bukan untuk Goldman Sachs, didakwa dengan satu tuduhan mengangkut barang curi antara negeri dan boleh menghabisk­an masa selama 10 tahun dalam penjara jika disabit kesalahan.

Dia ditangkap Selasa lepas di Lapangan Terbang Antarabang­sa Los Angeles dan kes itu telah ditugaskan kepada Ha-kim Daerah AS Paul Gardephe di New York. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia