Pemilik tanah mohon jabatan terbabit peka terhadap masalah
TAWAU: Lebih 40 pemilik tanah di Jalan Kalumpang A, lorong 4 memohon agar pihak jabatan yang terbabit peka terhadap permasalahan yang wujud setelah mereka dengan sendiri membaik-pulih sebuah jambatan yang terdapat di lorong itu selepas ia rosak lebih sebulan.
Jurucakapkumpulanituyang tidak ingin dikenali berkata masalah bermula apabila kontraktor yang diamanahkan untuk menyelenggara lorong berkenaan menghentikan kerja setelah jambatan itu rosak.
“Kami amat terkilan apabila tidak ada pihak kerajaan yang datang untuk membuat kerja baik-pulih jambatan itu walaupun ia dikenalpasti oleh kontraktor terbabit dan kerosakan berlanjutan sehingga lebih sebulan,” katanya.
Beliau berkata setiap pemilik dianggarkan boleh mendapat lebih kurang 10 tan buah sawit sebulan dan ia merupakan satu kerugian besar kepada pihak mereka.
Dalam keadaan terdesak, para pemilik membuat pakatan dan memperbaiki jambatan itu dengan kos lebih kurang RM8,000 yang kini telah dibaik-pulih.
“Kami hairan kontraktor yang melihat kerosakan jambatan itu menghentikan kerja mereka tetapi pihak berkuasa tidak tahu akan masalah itu,” katanya.
Beliau berkata mereka membayar cukai hasil sawit dan mematuhi segala prosedur yang dikehendaki oleh pihak berkuasa.
Mereka berharap agar masalah sedemikian dapat ditangani di masa hadapan secepat mungkin kerana jalan merupakan salah satu nadi kepada mereka untuk menghantar buah sawit kepada pihak pembeli.
“Buah yang matang perlu dipetik dan dihantar kepada pihak pembeli dalam masa yang terhad... kelambatan akan menjejaskan kualiti buah dan harga jualan,” katanya.