Safe Kids Malaysia UPM menang Anugerah Keselamatan Jalan Raya Antarabangsa
KUALA LUMPUR: Safe Kids Malaysia Universiti Putra Malaysia (UPM) memenangi Anugerah Keselamatan Jalan Raya Antarabangsa Prince Michael 2017 kerana program ulungnya dikenali sebagai Inisiatif Topi Keledar Motosikal Kanak-kanak.
Pengarah eksekutif Safe Kids Malaysia Prof Madya Dr Kulanthayan KC Mani berkata beliau menerima anugerah itu daripada Prince Michael of Kent di London pada Rabu.
“Yang Mulia Prince Michael of Kent telah berkenaan menerima syor panel penghakiman bahawa Safe Kids Malaysia UPM patut menerima anugerah berdasarkan intervensinya yang disambut baik kerana mempamerkan pemindahan ilmu secara berkesan serta menunjukkan hasil yang sangat positif dari segi peningkatan penggunan topi keledar,” kata beliau.
Kulanthayan menyatakan demikian kepada Bernama dari London pada Rabu selepas majlis penyampaian anugerah itu di sana.
Safe Kids Malaysia UPM, yang merupakan anggota Majlis Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MKJR) dan Safe Kids Worldwide USA serta gabungan pertubuhan bukan kerajaan global tentang keselamatan jalan raya di platform antarabangsa dan tempatan, memperjuangkan isu keselamatan jalan raya dalam kalangan kanak-kanak sejak penubuhannya pada 2011.
Pada 2016, ia mula mengamalkan pendekatan secara terfokus bagi melaksanakan Inisiatif Topi Keledar Motosikal Kanak-kanak di Selangor.
Kulanthayan berkata inisiatif secara terfokus itu, yang mendapat sokongan penuh daripada sekutunya di peringkat tempatan dan antarabangsa, berjaya meningkatkan penggunaan topi keledar motosikal untuk kanak-kanak dalam setahun daripada 3.6 peratus kepada 35.5 peratus selepas intervensi yang dilaksanakan itu dan peningkatan penggunaan topi keledar dalam kalangan penunggang motosikal dewasa daripada 75.6 peratus kepada 87.3 peratus.
“Berikutan peningkatan penggunaan topi keledar motosikal dalam kalangan orang dewasa dan kanakkanak yang menjadi pembonceng, diharapkan jumlah kecederaan kepala dan kematian akibatnya semasa nahas, akan berkurangan,” kata beliau.
Pada majlis itu, Kulanthayan diiringi Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM Datuk Dr Abdul Jalil Nordin. -Bernama