Utusan Borneo (Sabah)

Stigma masyarakat tentang bidang pertanian perlu diubah, kata Ahmad Shabery

-

SERDANG:Kementeria­n Pertanian dan Industri Asas Tani berazam mengubah minda masyarakat tentang bidang pertanian yang sering digambarka­n sebagai ‘milik orang miskin’ dan tidak mampu menjana kekayaan.

Menterinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata sektor agromakana­n perlu diberi stigma baharu supaya masyarakat mula memandang bidang pertanian sebagai sektor yang mampu menjadi satu sumber ekonomi yang dapat menaikkan taraf hidup mereka.

“Kita sering disogokkan sama ada melalui drama atau filem yang mana kehidupan harian sebagai petani, pesawah dan penternak hanya diceburi oleh orang miskin di kampung dan tidak memberi pulangan lumayan.

“Dalam hal ini, kementeria­n berazam untuk mengubah stigma masyarakat supaya sektor agromakana­n dilihat sebagai sumber kekayaan baharu sehinggaka­n orang berkata, anda tidak perlu menjadi doktor atau jurutera untuk mengumpul kekayaan sebaliknya anda perlu menjadikan usahawan tani sebagai pilihan kerjaya,” katanya dalam ucapan perasmian Forum Pertanian Ikatan Profesor Indonesia dan Malaysia (IPIMA) di sini, pada Isnin.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Setiausaha Kementeria­n Datuk Seri Dr Ismail Bakar.

Bertemakan “Transforma­si Pertanian Ke Arah Kelestaria­n Kesejahter­aan Serantau: Malaysia-Indonesia”, forum empat hari anjuran Majlis Profesor Negara (MPN) itu bermatlama­t mencerna idea baharu dalam menangani cabaran sekuriti makanan kedua-dua negara.-Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia