Lelaki maut dipercayai terjun dari tingkat 4
SANDAKAN: Seorang lelaki warga asing maut selepas dipercayai terjun dari tingkat 4 flat Projek Perumahan Rakyat (PPR), Taman Mesra, Batu 4, petang Khamis.
Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin berkata dalam kejadian jam 2.10 petang itu, mangsa berumur 21 tahun meninggal dunia akibat patah tengkuk.
Katanya, sepasukan anggota polis bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima laporan berhubung kejadian itu. Sebaik tiba di tempat kejadian, mangsa disahkan meninggal dunia oleh anggota perubatan.
“Siasatan mendapati mangsa baru sampai ke Sandakan dari Labuan bagi menyelesaikan masalah rumahtangga dengan isterinya.
“Pada jam 11 pagi, mangsa dikatakan menghubungi isterinya, namun panggilan mangsa tidak dijawab oleh isterinya,daninimenyebabkan mangsa berada dalam keadaan tertekan serta murung dan tidak mahu bercakap dengan sesiapa,” katanya.
Azhar berkata sebelum kejadian, jiran mangsa ada melihat mangsa mengikat matanya dengan kain kuning, lalu berlari dan bertindak melompat dari kaki lima rumah di flat berkenaan.
“Pemeriksaan lanjut ke atas tubuh badan mangsa mendapati ada kesan luka di bahagian tengkuk belakang mangsa dipercayai patah akibat daripada terjatuh dari ketinggian lebih kurang 40 kaki,” katanya.
Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Duchess of Kent Sandakan untuk bedah siasat.
“Siasatan juga mendapati tiada unsur jenayah atau khianat dalam kejadian itu dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.