Utusan Borneo (Sabah)

16 kes ‘Macau Scam’ sejak Januari

-

KUCHING: Sebanyak 16 kes ‘Macau Scam’ dicatatkan di negeri ini yang melibatkan kerugian RM1.1 juta dari tempoh Januari hingga Ogos 2017.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sarawak Superinten­den Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, tahun lepas secara keseluruha­n 53 kes dicatatkan dengan kerugian RM1.3 juta.

“Pada tahun ini, setakat Ogos kita berjaya menangkap tujuh individu yang terlibat dalam ‘Macau Scam’ sementara 27 individu ditangkap pada tahun lepas.

“Kebanyakan mangsa yang terlibat terdiri daripada pelbagai lapisan usia berumur antara 18 dan 63 tahun.

“Kita dengan ini menggesa orang ramai tidak melayan manamana panggilan terutama daripada individu yang mendakwa mereka daripada pihak bank atau agensi,” katanya pada satu sidang media selepas taklimat bersama mangsa penipuan di Ibu Pejabat SUPP di sini, Rabu.

Mustafa berkata, daripada jumlah kerugian terbabit antara paling tinggi jumlah ditipu bernilai RM290,000 sementara yang terendah bernilai RM1,900.

Beliau menegaskan, modus operandi Macau Scam kebiasaany­a menawarkan bantuan kepada mangsa dengan meminta wang pendahulua­n seperti membantu membebaska­n ahli keluarga mereka yang diculik atau memindahka­n wang ke akaun lain.

“Tujuan mereka adalah mahu mangsa menjadi panik dan memberi tekanan agar mangsa menyalurka­n wang berkaitan.

“Di sini kita ingin memaklumka­n kepada orang ramai jika ada individu yang membuat panggilan tetapi meminta wang ia adalah sesuatu yang tidak betul dan tidak kena,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Stakan Sim Kiang Chiok menggesa lebih ramai mangsa jenayah komersial diminta tampil membuat laporan polis.

Katanya, pihak SUPP baru-baru ini menerima aduan daripada beberapa mangsa sebuah syarikat berpangkal­an di Semenanjun­g Malaysia yang memasar, merekrut dan menjual mesin data layan diri kepada mangsa dengan janji pulangan lumayan dan penghantar­an mesin dalam tempoh tertentu.

Namun demikian, sehingga kini ramai mangsa yang belum menerima mesin sejak setahun, malah ada yang menerimany­a dalam keadaan rosak.

Sim turut menegaskan hasil pertemuan dengan pihak polis, siasatan terhadap kes itu masih berjalan.

“Beliau (Mustafa) memberi jaminan kepada kami bahawa kes-kes itu tidak ditutup dan polis akan meneruskan siasatan dalam kes-kes ini sehingga selesai dan kami yakin pesalah lambat-laun akan dibawa ke muka pengadilan,” katanya.

Mustafa pada sidang media sama memohon orang ramai yang membuat laporan di Kuching untuk menghubung­i pihak berkuasa jika didapati telah menjadi mangsa.

Malah, katanya, mereka boleh terus menghubung­inya atau membuat aduan melalui e-mel yang disediakan.

“Saya menggesa kepada orang awam atau mangsa menghubung­i saya terus di talian 019-7000577 atau e-mel ke kjsjkswk@rmp.gov.my,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia