Projek MRT martabatkan kebolehan jurutera tempatan
PERKHIDMATAN
Transit Aliran Massa Laluan Sungai Buloh-Kajang (MRT SBK) mendapat sentuhan kepakaran jurutera tempatan membuktikan usaha memperkasa pengangkutan awam terutama di ibu negara mampu dilaksanakan.
Walaupun hanya bekerja di belakang tabir, namun mereka layak disanjung sebagai wira negara. Kemudahan yang kita gunakan pada hari ini adalah hasil titik peluh jurutera-jurutera tempatan.
Malah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam entri di blog NajibRazak.co, berkata, beliau kagum melihat begitu ramai jurutera muda Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan latar belakang terlibat dalam projek berprofil tinggi ini.
“Saya bangga melihat anakanak muda Malaysia dalam projek MRT ini kerana bukan sahaja mereka dapat belajar daripada para jurutera yang lebih berpengalaman bahkan diberi peluang untuk menjadi pengurus-pengurus projek walaupun umur mereka masih dalam lingkungan 20 ke 30-an.
“Tentunya pengetahuan dan pengalaman yang mereka timba dalam bidang ini sangat berharga dan amat diperlukan pada masa hadapan bukan sahaja untuk negara malah pembangunan kerjaya mereka sendiri,” katanya.
*Sumber: https://www. najibrazak.com
Nur Lyana jurutera berjiwa kental
Jika dilihat dari segi penampilannya yang cantik dan berbadan kecil, pasti ramai yang tidak menyangka Nur Lyana Binti Ameerudeen, membabitkan diri dalam bidang kejuruteraan. Berada dalam bidang kerjaya yang didominasi lelaki tidak pernah membuatkannya berasa rendah diri atau terasing, malah menjadikan dirinya semakin ingin berdaya saing untuk muncul sebagai seorang jurutera yang berjaya.
Gadis kelahiran Kuching, Sarawak ini sememangnya seorang yang berjiwa kental dan baginya semua kerjaya ada cabaran yang tersendiri. Walaupun baru menjangkau usia 26 tahun, beliau yang lebih dikenali sebagai Lyana di kalangan rakan setugas sudah mula menggalas tanggungjawab besar.
“Sebaik sahaja berjaya menamatkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dari Universiti Malaysia Pahang (UMP), saya ditawarkan bekerja dalam projek pembinaan MRT.
“Di sini, tugasan utama saya adalah lebih kepada meneliti keseluruhan aspek reka bentuk pelan serta menyelaras segalanya dengan perunding. Walaupun baru mula bekerja tetapi saya sangat beruntung kerana mempunyai peluang untuk bekerja dan bekerjasama dengan banyak pihak yang berkepentingan, termasuk pemilik projek MRT Corp,” katanya.
Ditanya tentang PDP iaitu ‘Project Delivery Partner’ (Rakan Pelaksana Projek) untuk MRT, beliau merasakan PDP adalah satu langkah bijak dan berkesan sebagai penghubung dan penjaga piawaian yang berkualiti tinggi.
“Sebagai contoh, saya ditugaskan untuk berunding dengan kontraktor dan perunding bagi memastikan pembinaan yang dijalankan mengikut spesifikasi yang dinyatakan dan meminimumkan kesilapan dalam peringkat reka bentuk untuk mengelakkan sebarang masalah pembinaan yang boleh mengakibatkan kelewatan.
“Menjadi seorang jurutera adalah cita-cita saya sejak kecil lagi, apabila ditugaskan di salah sebuah konsultan reka bentuk yang terlibat dalam projek MRT sejak Jun lalu, saya sangat teruja dan berharap dapat memperoleh lebih banyak pengetahuan mengenai aspek reka bentuk serta pembinaan teknikal.
“Pada masa akan datang, saya berharap untuk dapat menyertai Jabatan Pengurusan Projek bagi memanfaatkan kemahiran reka bentuk dan pengurusan projek di tapak pembinaan MRT sekali gus menambah ilmu pengetahuan ,” katanya.
“Saya berharap, tempat kelahiran saya nanti akan turut menerima kemudahan seperti MRT ini. Selain menjimatkan masa dan menjadi penyelesaian kepada kesesakan lalu lintas di kawasan-kawasan tumpuan, kemudahan seperti ini juga dapat menjana ekonomi di Sarawak,”katanya.
Ceburi bidang jurutera kerana ingin berkhidmat untuk masyarakat
Berlainan pula kisahnya dengan Foo Han Piew, semasa masih bersekolah, beliau bercita-cita untuk menceburi kerjaya yang dapat membawa perubahan dalam hidup masyarakat seperti seorang pendidik.
Namun begitu, sebaik mendapat tahu jurutera lebih dihormati dan lebih ‘cool’ berbanding pekerjaan yang lain, beliau tidak menolak apabila ditawarkan jurusan kejuruteraan selepas menamatkan pelajaran di sekolah menengah.
“Pada mulanya niat saya untuk menjadi seorang jurutera hanyalah untuk mengubah hidup keluarga saya untuk menjadi lebih baik tapi semakin lama bekerja, saya melihat pekerjaan sebagai seorang jurutera juga dapat menyumbang bakti pada masyarakat.
“Bagi saya pekerjaan kami sebagai jurutera mempunyai kesan yang besar terhadap masyarakat hanya dengan menyediakan prasarana agar mereka dapat menjalani kehidupan dengan lebih baik.
“Dengan peranan kami sebagai PDP, projek berskala besar seperti kemudahan bertaraf dunia dapat dilaksanakan sekali gus dapat menerapkan ‘mentaliti kelas pertama’.
“Gamuda telah dilantik sebagai PDP kerana rekod pretasinya yang terbukti mampu melaksanakan projek prasarana berskala besar sebagai kontraktor reka bentuk dan pembinaan,” katanya.
Beliau juga amat berbangga dengan adanya transformasi projek MRT ini, terbukti banyak perubahan telah berlaku terutamanya isu keselamatan dan keselesaan pekerja serta orang awam dan pihak yang terlibat telah diberikan keutamaan.
“Sebagai contoh, isu keselamatan dan kesihatan pekerja adalah sangat penting bagi kami di Gamuda. Sehubungan
itu, kami akan menempatkan pekerja kami di ‘Centralised Labour Quarters’ yang mana mereka mempunyai tempat tinggal yang baik untuk berehat dan bersantai.
“Kami juga memastikan tempat tinggal mereka ini mempunyai dapur dan bilik mandi yang sesuai untuk keselesaan dan kemudahan mereka. Ini kerana, para pekerja yang mempunyai rehat mencukupi akan memperlihatkan produktiviti yang lebih tinggi sekali gus mampu mengurangkan risiko kemalangan di tempat kerja,” ujar beliau.
Tambah beliau lagi, PDP juga mempunyai Sistem Pengurusan Lalu Lintas terperinci yang tujuan utamanya adalah untuk memastikan keselamatan awam sebelum, semasa dan selepas penutupan lorong untuk kerja pembinaan MRT.
“Contohnya, jika ada keperluan untuk menutup jalan atau mengalihkan trafik, kajian kebolehlaksanaan mengenai pengurusan lalu lintas di kawasan itu akan dilakukan, dan perunding profesional akan terlibat untuk meluluskan pelan lalu lintas, yang kemudiannya akan dilaksanakan oleh Works Package Contractor (WPC).
“WPC juga akan memastikan penduduk dan peniaga di sekitar kawasan tersebut diberitahu lebih awal. Terdapat juga hotline 24 jam untuk dihubungi sekiranya orang awam menghadapi masalah atau inginkan maklumat lanjut,”jelas beliau.
Bercerita lanjut tentang pengalamannya bekerja selama sedekad di Gamuda, Foo berkata bahawa salah satu faedah terbaik untuk bekerja di Gamuda adalah mempunyai generasi pemimpin yang lebih tua yang sentiasa bersedia memberikan bimbingan dan berkongsi pengalaman kepada jurutera muda seperti beliau. “Di sini, kami bebas memberikan pendapat dan berkongsi idea tanpa mengira usia dan pangkat. Ia adalah komunikasi dua hala secara terbuka kerana kami sentiasa berusaha untuk mencapai kecemerlangan dan inovasi dalam segala yang kami lakukan bersama.
“Walaupun cita-cita untuk menjadi seorang pendidik tidak kesampaian namun saya mendapat peluang itu dilantik semula ke Jabatan Latihan Pembinaan untuk menjalankan latihan pembinaan.
Dengan teknologi dan kepakaran yang ada di Gamuda sekarang, Foo berharap suatu hari nanti, keluarganya akan menikmati kemudahan infrastruktur yang sama di Sarawak.
“Pelaksanaan infrastruktur seperti ini dapat meningkatkan lagi kualiti hidup dan pada waktu yang sama menyediakan pekerjaan dan ini sekali gus dapat meningkatkan ekonomi di Sarawak.
“Pada masa ini, peluang pekerjaan di Sabah dan Sarawak tidak begitu banyak berbanding Semenanjung dan ini adalah satu sebab kenapa ramai yang berhijrah ke sini. Selain itu, kebanyakan pekerja mahir di sana juga tidak berpeluang meningkatkan kemahiran mereka, jadi dengan adanya projek berskala besar ini, saya yakin anak muda tempatan akan pulang dan berkhidmat untuk menabur jasa di negeri sendiri,” katanya.
Rangkaian komunikasi bawah tanah yang pertama di dunia
Seperti Foo dan Lyana, Henry Anak Mayot turut berharap Sarawak juga akan mempunyai sistem pengangkutan awam seperti MRT.
Bagi pendapat Henry sendiri, projek kerajaan yang berskala besar seperti MRT ini dapat membuka lebih banyak peluang pada rakyat tempatan terutamanya untuk jurutera muda. Selain itu ia juga dapat meningkatkan lagi kualiti hidup dan menjana ekonomi tempatan terutamanya di bahagian Kuching.
“Rangkaian pengangkutan seperti sistem metro juga akan membuka kawasan-kawasan baru untuk pembangunan dan ini akan menghasilkan projek-projek hartanah yang baru, seperti apa yang anda lihat di Lembah Klang.
“Kami memerlukan rangsangan seperti ini untuk mengubah bandar raya Kuching ke peringkat seterusnya sekali gus memberi keuntungan pada penduduk tempatan untuk belajar sesuatu yang baru dan penjanaan ekonomi yang lebih produktif juga akan dapat dirasai,” katanya.
Walaupun jauh bekerja di perantauan, Henry akan pulang ke kampung halamannya di Kuching jika berkesempatan untuk bersama isteri dan dua orang anaknya. Menurut Henry, sekiranya projek berskala besar seperti ini dilaksanakan di Sarawak, beliau tidak akan melepaskan peluang untuk berbakti di kampung halamanya sendiri.
Henry kini mengetuai pasukan yang menguruskan Sistem Telekomunikasi Mudah Alih Komersial (CMTS). Beliau bekerja dengan seorang lagi jurutera PDP bersama satu pasukan perunding untuk menghasilkan spesifikasi pekerjaan yang diperlukan berkaitan dengan CMTS untuk Laluan Sungai BulohKajang (SBK).
Henry juga terlibat dalam proses tender, dan selepas tender dianugerahkan, beliau bekerja dengan pasukan perunding lain untuk memastikan projek itu disiapkan oleh WPC tepat pada waktunya dan memenuhi spesifikasi reka bentuk yang telah diberi.
“Walaupun cara pengendaliannya agak rumit, saya teruja dan gembira terlibat dalam projek MRT ini kerana ia mungkin projek pertama di dunia menggunakan sistem LTE MIMO yang mana semua rangkaian berkongsi infrastruktur yang sama menggunakan 2G, 3G, 4G LTE FDD dan 4G LTE TDD yang boleh diakses di terowong bawah tanah Laluan SBK.
“Biasanya, pembinaan infrastruktur untuk rangkaian mudah alih akan diamanahkan kepada pengendali mudah alih tetapi dalam kes ini, pemilik projek memutuskan bahawa ia akan menjadi tanggungjawab PDP,”
“Ini sekali gus akan memberi kelebihan pada saya dan PDP untuk belajar membina infrastruktur untuk pengendali telefon bimbit kerana ini boleh menjadi trend pada masa depan untuk projek metro atau kereta api.
“Selain mengendalikan CMTS, pasukan saya juga terlibat dalam Rangkaian Radio Bersepadu Kerajaan (GIRN) yang mana antara tugasan kami adalah untuk memastikan pengunaan handheld radio berfungsi di laluan bawah tanah sekiranya berlaku sebarang bencana yang tidak dijangka seperti kebakaran atau kemalangan,” katanya.
Timba ilmu daripada penyelia
Perkhidmatan Clare Bin Kimduit bermula dengan pasukan Pengurusan Kejuruteraan Rekabentuk (EDM) di mana tugasnya lebih menjurus kepada koordinasi reka bentuk pembinaan untuk laluan KL Sentral membabitkan jambatan pejalan kaki sepanjang 300 meter yang menghubungkan stesen MRT bawah tanah bagi jajaran SBK ke hab laluan rel utama (Stesen KL Sentral).
Sebaik selesai menjalankan tugas tersebut pada penghujung tahun 2013, Clare kemudiannya menyertai pasukan EDM untuk projek laluan Pasar Seni yang menghubungkan stesen KTM KL dengan stesen LRT Pasar Seni menyeberangi sungai dan jalan sepanjang lebih 110 meter. Skop tugas berkenaan juga termasuklah kerja-kerja menaik taraf kedua-dua stesen tersebut.
Dalam pasukan EDM itu, dia banyak mempelajari mengenai koordinasi reka bentuk antara konsultan, kontrak dan proses pemerolehan, berurusan dengan agensi serta pihak berkuasa tempatan yang secara tidak langsung memantapkan kemahiran komunikasi sepanjang perkhidmatan.
Sehinggalah September 2016, Clare dipindahkan ke Jabatan Pengurusan Projek (PMD) untuk mempertajamkan kemahirannya dalam pengurusan tapak.
“Secara umumnya saya sebelumnya menjadi koordinator untuk reka bentuk konsultan dan sekarang koordinator kepada kontraktor bagi projek laluan Pasar Seni. Kini saya terbabit secara terperinci khususnya dalam mendapatkan kontaktor untuk membangunkan projek tersebut berdasarkan proses reka bentuk sebelum ini.
“Sebenarnya banyak yang dipelajari mengenai PMD antaranya bagaimana untuk pemikiran kritis, bagaimana untuk berfikir seperti pengurus projek dari segi membuat keputusan, mengendalikan pekerja selain berurusan dengan pihak berkuasa tempatan dan pemilik tanah,” jelasnya.
Clare mengakui dia amat berbangga dengan projek yang menjadi buah mulut orang ramai itu namun paling penting, dia menyifatkan ilmu yang dikongsi penyelianya ibarat sesuatu yang bermanfaat dan berguna.
Tambahnya, pengalaman mempelajari selok-belok bekerja dengan MRT juga lebih besar nilainya berbanding tempoh enam tahun belajar di UiTM dalam bidang kejuruteraan awam.
“Pasukan yang disertai juga memiliki nilai kepimpinan yang tinggi selain kualiti kerja bagus seperti rajin berusaha, kemahiran pengurusan cemerlang dan menepati standard kualiti tinggi. Ini merupakan nilai yang saya praktikkan dalam kehidupan seharian,” ujarnya.
Bercerita lanjut, Clare turut berharap orang di kampung halamannya dapat memiliki kemudahan yang sama dan menikmati kemudahan yang dapat dinikmati rakyat Semenanjung Malaysia apabila kedua-dua laluan MRT siap.
“Kami adalah sebahagian daripada Malaysia jadi saya rasa Sabah juga perlu mempunyai rangkaian pengangkutan bersepadu yang sama supaya perjalanan ke pedalaman dapat lebih selesa. Ini juga akan membuka kawasan yang boleh dibangunkan dan mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi untuk rakyat Sabah.
“Pengangkutan awam sekarang memang sesuatu yang penting. Sekiranya dapat diimplementasi dengan bagus, produktiviti awam akan meningkat. Kerja pun boleh diselesaikan dengan lebih cepat,” katanya.