SPEF bantu pembeli rumah untuk miliki rumah PR1MA
KUCHING: Pembeli berdaftar rumah Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) terutama di negeri ini kini mempunyai akses membantu mereka memiliki rumah PR1MA iaitu melalui Skim Pembiayaan Fleksibel (SPEF).
Diperkenal sejak Februari tahun ini, SPEF menyediakan pembeli rumah PR1MA dengan menawarkan akses kepada jumlah pinjaman lebih tinggi dan membolehkan pembeli layak membayar ansuran bulanan pinjaman rumah pada kadar lebih rendah daripada pinjaman biasa.
Menurut kenyataan daripada Perbadanan Projek PR1MA yang diedarkan kepada media semasa Hari Terbuka PR1MA di pejabatnya di sini, pada Sabtu dengan skim berkenaan pembeli rumah boleh menikmati ansuran bulanan serendah RM800 sebulan kepada RM30 sehari selama lima tahun pertama bergantung kepada terma dan syarat serta kelayakan pembeli.
“SPEF, diperkenal khas kepada pembeli rumah PR1MA dengan kerjasama Bank Negara Malaysia, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta rakan institusi kewangan lain.
“Skim ini menyasarkan untuk meningkatkan peluang kepada pembeli rumah pertama khasnya dengan menyediakan akses jumlah pinjaman tinggi berbanding pinjaman konvensional,” menurut kenyataan.
Bagi pembeli berminat, mereka boleh memohon skim melalui rakan bank PR1MA, iaitu Maybank, CIMB Bank, RHB Bank dan AmBank.
SPEF mempunyai dua pilihan iaitu, pertama pembiayaan ‘step-up’ atau berperingkat tanpa melibatkan pengeluaran mana-mana akaun KWSP manakala kaedah pembiayaan
‘step-up’ kedua adalah dengan pengeluaran akaun 2 KWSP dalam tempoh lima tahun pertama hanya faedaherlu dibayar bergantung kepada pilihan pembeli.
“Pilihan ‘step-up’ berserta dengan pengeluaran dari akaun 2 KWSP bermaksud para pembeli kediaman PR1MA memperoleh akses kepada jumlah pinjaman lebih tinggi mengikut kemampuan mereka,” menurut PR1MA.
Sementara itu, PR1MA bakal membangunkan lebih daripada 17,000 unit kediamannya di Sarawak yang melibatkan 15 projek dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) lebih daripada RM5.5 bilion.
Antaranya di Kuching, iaitu di Matang, PR1MA menawarkan 912 unit rumah pangsa empat tingkat dengan harga bermula RM279,000 seunit sementara di Bintawa menawarkan 1,320 unit rumah pangsa 11 tingkat yang boleh didapati dengan harga bermula RM256,000.
Kedua-dua projek yang kini sedang dalam proses pembinaan dan ia dibina dengan kemudahan fasiliti termasuk lif.
Selain dua projek itu, PR1MA kini sedang melaksanakan projek di Semenggoh,yang menawarkan rumah kediaman teres sebanyak 1,260 unit.
Sementara itu bagi membolehkan orang ramai yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai perkembangan PR1MA atau membeli rumah, perbadanan menganjurkan Hari Terbuka PR1MA (POD) selama dua hari di pejabat jualannya di Metrocity, Matang Jaya bermula 15 hingga 16 Julai 2017.