Lelaki cuba buka pintu pesawat ketika penerbangan
LOS ANGELES: Seorang penumpang pesawat Delta Air Lines didakwa pada Khamis atas tuduhan mencetuskan pertengkaran di udara apabila cuba membuka pintu keluar pesawat dalam penerbangan dari Seattle ke China.
Joseph Daniel Hudek IV, 23, dari Tampa, Florida, ditangkap Khamis lepas apabila pesawat Delta Boeing 767-300, yang membawa 221 orang, terbang balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Seattle-Tacoma untuk pendaratan kecemasan dua jam selepas berlepas.
Pesawat itu berpatah balik kerana pergaduhan dalam penerbangan yang diperincikan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dalam laporan jenayah terhadap Hudek, yang merupakan penumpang kelas pertama dalam penerbangan itu.
Menurut FBI, insiden bermula apabila Hudek meluru ke pintu keluar di hadapan pesawat dan cuba membukanya, mencetuskan pergelutan dengan pramugari dan penumpang yang cuba menahannya.
Hudek berulang kali menumbuk pramugari dan seorang penumpang lain, selain terus berusaha untuk membuka pintu itu walaupun pramugari kedua memukul kepalanya dengan dua botol besar wain.
Hudek akhirnya dikawal dengan tali leher zip selepas beberapa penumpang campur tangan tetapi sempat memaut pengumpil pintu hingga ke posisi setengah terbuka.
Afidavit itu tidak menyebut punca kejadian itu.
Menurut FBI, Hudek disajikan bir tetapi tidak menunjukkan tanda mabuk.
Pada satu ketika sewaktu pergelutan, dia menjerit, “Kamu kenal siapa saya?”
Pesawat itu mendarat dengan selamat, dan dua individu menerima rawatan atas kecederaan di muka.
Hudek dibawa ke mahkamah daerah Amerika Syarikat (AS) di Seattle, di mana dia dikemukakan dengan laporan yang mendakwanya atas satu tuduhan campur tangan dengan kru penerbangan, kesalahan jenayah yang boleh dikenakan hukuman penjara hingga 20 tahun.