Keterbukaan rakyat rai perayaan secara bersama perlu dikekalkan
SANDAKAN: Keterbukaan rakyat Sabah yang berbilang kaum dalam meraikan sesebuah perayaan secara bersama perlu sentiasa dikekalkan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman berkata, seperti contoh rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri yang bukan sahaja dirai oleh umat Islam, sebaliknya turut dihadiri masyarakat berbilang kaum dan agama.
“Seperti rumah terbuka TYT dan rumah terbuka saya bersama jemaah menteri barubaru ini, kita berbesar hati menerima kehadiran kira-kira 50,000 pengunjung. Semua yang hadir disambut dengan mesra dan penuh perasaan kekitaan.
“Inilah yang harus kita tekankan dan dipelihara dari semasa ke semasa. Ini kerana perpaduan yang kukuh membolehkan kita membangunkan negeri dengan lebih baik.
“Dalam masa yang sama, kita juga berterima kasih dengan pasukan keselamatan yang sentiasa mengutamakan keselamatan dan membolehkan kita meraikan perayaan dengan aman,” katanya ketika berucap pada Majlis Semarak Kasih Aidilfitri 2017 di Taman Fajar Perdana di sini, pada Sabtu.
Hadir sama, Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Datuk Zakaria Haji Mohd Edris, Ahli Parlimen Libaran Datuk Juslie Haji Ajirol, Ketua Umno Bahagian Sandakan Tan Sri Haji Ampong Puyon dan Pengerusi Pelaksana Majlis Haji Otoh Sibik.
Mengulas lanjut, Musa berkata keamanan dan perpaduan dikecapi membolehkan lebih banyak pembangunan dibawa termasuk di Sandakan.
Katanya, banyak peruntukan telah dibelanjakan untuk membina infastruktur di daerah ini secara berperingkat.
“Seperti di Sandakan, kita telah minta Perdana Menteri untuk memanjangkan landasan di Lapangan Terbang Sandakan. Apabila siap kelak, lebih banyak penerbangan dari luar akan masuk ke sini dan pastinya bilangan pelancong juga bertambah.
“Selepas itu pasti industri akan berkembang sekaligus dapat mewujudkan peluang pekerjaan untuk anak-anak kita. Ini baru bunga-bunga kerana sebenarnya ada banyak lagi yang akan kita bangunkan di sini,” tambahnya.
Majlis rumah terbuka itu dianjurkan oleh Jawatankuasa Keselamatan Dalam Bandar (JKDB) dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Fajar Perdana.