Keputusan bukti mahkamah tidak dipengaruhi kerajaan
KUCHING: Keputusan Mahkamah Tinggi mengenai Dr Ting Tiong Choon yang dikekalkan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) semalam membuktikan bahawa mahkamah tidak dipengaruhi oleh kerajaan.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, keputusan dibuat mahkamah itu adalah telus selain berasaskan perundangan dan perlembagaan serta berlandaskan sistem demokrasi.
“Kadang-kadang ada pihak akan menyatakan kalau keputusan tidak memihak kepada mereka, bahawa mahkamah dipengaruhi kerajaan dan keputusan hari ini (semalam) membuktikan perkara itu tidak berlaku.
“Maknanya kita berlandaskan sistem perundangan dan sistem demokrasi, maka itu kita kena menghormati apa sahaja keputusan mahkamah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Jerayawara Pengagihan Bubur Lambuk Bernas Saberkas 2017 anjuran AJK Biro Agama dan Kebajikan Unit Saberkas Tupong Jaya di sini, pada Sabtu.
Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata, keputusan itu juga membuktikan sistem pentdabiran negara mengikut lunas perlembagaan dan undang-undang yang berjalan dengan baik sekali.
Jelasnya di negara ini, terdapat tiga badan perundangan iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Negara di peringkat persekutuan sementara Dewan Undangan Negeri (DUN) di peringkat negeri.
“Kita juga ada mahkamah atau badan kehakiman dan badan eksekutif. Jadi apa yang berlaku di Pujut adalah DUN membuat keputusan dan beliau membawa ia ke mahkamah.
“Di mana mahkamah boleh mentafsir dan keputusannya menunjukkan kebebasan mahkamah itu sendiri,” tegas beliau.
Jelasnya, semua pihak juaga perlu menghormati keputusan mahkamah bahawa tidak ada plilihan raya kecil diadakan.
“Ini kerana kita menyerahkan perkara itu mengikut proses perundangan dan perlembagaan pentadbiran negara,” katanya.
Pada majlis yang dihadiri Adun Tupong Fazzrudin Abdul Rahman itu, Fadillah mengagihkan kira-kira 500 bungkus bubur lambuk kepada penduduk sekitar kawasan berkenaan.
Program turut mendapat kerjasama AJK Surau Darul Hijrah, AJK Ranting PBB Tupong Jaya dan Rela Kawasan Petra Jaya.