Golongan kurang mampu akan terus diberi bantuan
BINTULU: Golongan memerlukan dan kurang mampu tidak akan disisih sebaliknya terus dibantu dalam usaha untuk meringankan beban golongan terbabit.
Pengurus Besar Kanan Petronas Carigali Sdn Bhd Sarawak Gas (PCSB) Sohaime Abdullah berkata, usaha itu seperti dilakukan Petronas melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan melaksanakan program Sentuhan Kasih Petronas membantu golongan.
Katanya, melaluinya juga akan memantapkan hubungan kedua-dua belah pihak.
“Kami menghargai Kompleks Peryatim dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang mengenal pasti golongan yang kurang bernasib baik untuk dibantu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Berbuka Puasa Bersama Anak-Anak Yatim dan yang kurang berkemampuan di Hotel Parkcity Everly baru-baru ini.
Katanya, program dianjurkan itu amat bermakna kerana dapat membantu anak-anak yatim yang memerlukan kasih sayang.
“Sumbangan dan bantuan diberi juga akan membolehkan mereka dapat merasai suasana gembira pada bulan puasa,” katanya sambil menghargai kehadiran pelbagai pihak dalam menjayakan program itu.
Majlis itu dihadiri oleh 101 anak yatim dari Kompleks Kebajikan Ana kanak Yatim Bintulu (PERYATIM) Kampung Jepak dan 20 keluarga yang kurang berkemampuan dari sekitar Bintulu.
Mereka menerima duit raya dan barangan makanan daripada Petronas. Turut hadir di majlis itu Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing; Timbalan Residen Bintulu, Hamdiah Bakir; Ketua Pegawai Eksekutif Bintulu Port Holdings Bhd, Dato Mohammad Medan Abdullah; Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia LNG Group of Companies, Ir Pau Kiew Huai dan Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Urusan Asean Bintulu Fertilizer Sdn Bhd, Ir Lukas Takip.