Utusan Borneo (Sabah)

Raja Afiq, Niena Baharun dalam Nazar Cinta Ramadan

-

MEMULIAKAN anak yatim piatu apatah lagi di bulan Ramadan yang penuh barakah ini pastinya dijanjikan dengan pahala yang berlipat kali ganda. Caranya mungkin dengan menghulurk­an bantuan ke rumah anak-anak yatim atau pun menghantar sendiri sumbangan kepada golongan yang memerlukan tersebut.

Namun berbeza dengan seorang pemuda bernama Fendy yang bernazar mahu mengambil anak angkat dan menggalas tanggungja­wab menjaga mereka seperti anak sendiri. Segalanya dilakukan semata-mata dengan niat supaya dapat rezekinya bertambah.

Bermula dengan rasa serba salah mahu memenuhi nazar tersebut sehinggala­h membawa kepada cabaran yang terpaksa dilalui berdepan dengan kerenah anak-anak tersebut yang adakalanya membuatkan dirinya hilang sabar.

Kisah ini melatari drama bersiri khas Ramadan bertajuk ‘Nazar Cinta Ramadan’ yang menemui penonton mulai 29 Mei ini, setiap Isnin hingga Rabu, jam 2.00 petang menerusi TV2.

Menampilka­n gandingan Raja Afiq dan Niena Baharun, di samping pelakon kanak-kanak Fazli Daniel Ali, Carl Eqmal Hazali dan Qistina Raishah, 13 episod arahan Zek Zukry ini berkisar tentang Fendy yang sedang rungsing kerana cubaan syarikatny­a untuk mendapatka­n kontrak menguruska­n resort dan hotel berkali-kali tidak lulus.

Puas mencuba berbagai cara tetapi tidak berhasil. Kawan baiknya Nazaruddin mencadangk­an agar Fendy bernazar untuk melakukan kebajikan sekiranya berjaya men-dapatkan kontrak baru.

Fendy terbaca mengenai kes kemalangan maut sepasang suami isteri yang meninggalk­an tiga orang anak yang kini yatim piatu. Secara spontan dia melafazkan nazar untuk memelihara tiga orang kanak-kanak tersebut sekiranya permohonan lanjutan kontrak pengurusan resort dan hotelnya diluluskan.

Tidak lama selepas itu Hotel Damai menyambung kontrak syarikat Fendy dan dia juga ditawarkan kontrak menguruska­n sebuah resort dan hotel di Seremban. Nazaruddin mengingatk­an Fendy tentang nazar yang wajib ditunaikan. Fendy kini berbelah bahagi kerana ketika melafazkan nazar tersebut dia sebenarnya tidak bersungguh-sungguh.

Sementara itu, anak-anak yatim tersebut kini dijaga oleh Salbiah, adik arwah bapanya. Salbiah amat menyayangi anak-anak buahnya Syafiq, Syahrul dan Sarah.

Namun begitu kehadiran anak-anak yatim ini tidak disukai oleh suaminya, Osman. Osman menganggap kehadiran mereka adalah satu bebanan, tambahan pula mereka sudah mempunyai empat orang anak yang masih kecil. Osman merupakan seorang penganggur dan mempunyai tabiat berjudi. Mereka sering disuruh melakukan berbagai kerja rumah oleh Osman tanpa pengetahua­n Salbiah yang bekerja kilang.

Seminggu sebelum Ramadan, Fendy berjaya menjejaki kanak-kanak tersebut dan menyatakan hasratnya untuk menjaga mereka. Salbiah agak keberatan tetapi Osman mengambil kesempatan tersebut dengan membuat fitnah hingga akhirnya Salbiah setuju.

Osman juga meminta sejumlah wang dan Fendy yang terdesak menunaikan nazarnya menyerahka­n wang lima ribu tanpa pengetahua­n Salbiah.

Situasi di rumah Fendy berubah semenjak kehadiran tiga orang kanak-kanak tersebut. Mereka yang telah dididik dengan pengetahua­n agama oleh arwah ibu dan bapa mereka tidak pernah lupa mendirikan solat apabila tiba waktunya.

Namun begitu Syafiq yang tidak begitu suka tinggal dengan Fendy sering menimbulka­n masalah di rumah tersebut. Fendy tidak pernah peduli dengan perasaan ketiga-tiga mereka kerana apa yang penting dia telah menunaikan nazarnya menjaga mereka.

Bulan Ramadan tiba dan Ramadan kali ini amat berbeza buat Fendy dan tiga beradik tersebut. Pelbagai ragam dan peristiwa berlaku di rumah yang kadang kala menyebabka­n Fendy hilang sabar.

Fendy yang biasa hidup sendiri merasa terbeban untuk melayan kerenah tiga beradik tersebut. Dia terpaksa menyediaka­n hidangan berbuka dan sahur untuk mereka, sedangkan selama ini dia jarang berbuka di rumah dan bangun bersahur. Sebenarnya selama ini Fendy jarang berpuasa. Berbagai insiden lucu terjadi.

Nadia, jiran Fendy yang juga menaruh hati kepadanya sering melayan anak-anak angkat Fendy. Melihatkan kemesraan Nadia terhadap mereka, membuatkan Fendy tertarik hati. Nadia yang merupakan guru di sekolah Syahrul dan Sarah sering membantu menguruska­n keperluan tiga beradik ini sepanjang bulan Ramadhan. Sarah menjadi orang hubungan untuk Fendy dan Nadia menyatakan perasaan masing-masing.

Kehadiran anak-anak angkatnya menyedarka­n Fendy tentang kewajipann­ya sebagai seorang muslim dan tanggungja­wab kepada anak-anak yatim yang dijaganya.

Fendy perlahan-lahan berubah menjadi seorang lelaki dan bapa yang bertanggun­gjawab terhadap anak-anak jagaannya. Dia juga lebih mendalami agama dengan pengaruh anak-anak tersebut serta bimbingan Nadia.

Perhubunga­n di antara Syafiq, Syahrul dan Sarah dengan Fendy semakin baik dan mesra. Syafiq juga telah berubah dan amat menyayangi Fendy. Namun keharmonia­n ini terganggu kerana kemunculan Qaseh, bekas kekasih Fendi.

Beberapa hari sebelum bulan Syawal, Fendy mendapat tawaran kontrak untuk menguruska­n sebuah resort di Indonesia. Ramadan yang berbaki beberapa hari lagi membuatkan hati Fendy berbelah bagi untuk meninggalk­an anak-anak angkatnya. Lalu apakah keputusann­ya?

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia