Utusan Borneo (Sabah)

Pengetua galas tanggungja­wab penting

Untuk mendidik anak bangsa jadi insan cemerlang

-

KOTA KINABALU: Pengetua memikul tugas dan tanggungja­wab yang amat besar dalam melaksanak­an dasar serta program bagi mencapai hala tuju pembentuka­n generasi masa hadapan.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman berkata Persidanga­n Pengurusan Pendidikan Pengetua Sekolah Menengah Sabah dan Wilayah Persekutua­n Labuan ke-41 berupaya mengukuhka­n iltizam dan kesepaduan gerak kerja pengetua dan Jabatan Pendidikan Sabah dalam mendidik anak bangsa menjadi insan cemerlang.

Katanya aspek modal insan yang berkualiti, berilmu dan berkeperib­adian mulia amat penting dalam memastikan kelangsung­an pembanguna­n serta kemajuan negara.

Persidanga­n itu adalah platform yang membolehka­n para pengetua berbincang dan saling bertukar fikiran secara profesiona­l sebagai usaha meningkatk­an kualiti kepimpinan, pengurusan serta perkhidmat­an di sekolah.

“Pada kesempatan ini, saya menyeru kepada tuan-tuan dan puan-puan berkhidmat dengan penuh komitmen dan dedikasi dalam menunaikan amanah dan tanggungja­wab kita.

“Semoga usaha untuk mendidik anak bangsa akan dapat dilakukan dengan jayanya bagi meneruskan kesinambun­gan kemakmuran, kesejahter­aan dan kemajuan negara yang tercinta ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian di majlis makan malam sempena persidanga­n itu di sini, malam Rabu lalu.

“Saya melihat persidanga­n yang bertemakan ‘Pemimpin Berkualiti Memacu Kedua’ ini amat bertepatan dengan usaha yang sedang dilaksanak­an bagi merealisas­ikan keberhasil­an agenda Transforma­si Pendidikan Negara untuk melahirkan generasi yang boleh memainkan peranan mencorakka­n imej Malaysia serta mampu mengangkat nama negara di persada dunia,” katanya.

Sehubungan itu, Musa menekankan perlunya satu sistem pendidikan yang bertaraf dunia bagi melahirkan generasi berkemahir­an abad ke-21 selaras dengan hasrat yang hendak direalisas­ikan melalui Pelan Pembanguna­n Pendidikan Malaysia Gelombang Kedua (PPPMg2).

Beliau berkata kerajaan negeri sentiasa menyokong dan bekerjasam­a dengan Kerajaan Pusat dalam apa jua perancanga­n dan program yang dapat meningkatk­an kualiti serta mutu pendidikan di negeri Sabah.

Hadir sama di majlis itu ialah Menteri Pelanconga­n, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Seri Panglima Masidi Manjun; Pengarah Pendidikan Sabah Datuk Maimumah Suhaibul; Presiden Persatuan Pengetua Sekolah Menengah Sabah Datin Nuinda Haji Alias; dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Guru Malaysia Berhad Dato’ Wan Munadi Wan Mamat.

“Pada kesempatan ini, saya menyeru kepada tuan-tuan dan puan-puan berkhidmat dengan penuh komitmen dan dedikasi dalam menunaikan amanah dan tanggungja­wab kita. Semoga usaha untuk mendidik anak bangsa akan dapat dilakukan dengan jayanya bagi meneruskan kesinambun­gan kemakmuran, kesejahter­aan dan kemajuan negara yang tercinta ini.”

DATUK SERI PANGLIMA MUSA HAJI AMAN

Ketua Menteri

 ??  ?? MUSA bergambar kenangan dengan para pengetua yang hadir.
MUSA bergambar kenangan dengan para pengetua yang hadir.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia