Utusan Borneo (Sabah)

Wartawan Honduras dibunuh

-

TEGUCIGALP­A: Seorang wartawan mati ditembak kelmarin di utara Honduras, kata pegawai hospital, menjadikan­nya anggota media ke-69 yang terbunuh di negara Amerika Tengah yang ditimpa keganasan itu sejak 2003.

Igor Padilla, seorang pemberita bagi rangkaian Canal Hable Como Habla (HCH), tiba di hospital dalam keadaan sudah mati dengan beberapa luka peluru menurut Dr Arturo Bendana dari sebuah klinik swasta di San Pedro Sula, bandar raya kedua terbesar di Honduras dan antara yang paling ganas di dunia.

Seorang jurukamera tidak dikenali yang ada bersama pemberita berkenaan berkata Padilla telah melangkah keluar untuk menjawab panggilan telefon dan ditembak oleh lelaki yang memakai seragam polis.

Pengarah saluran HCH, Eduardo Maldonado, berkata pemberita itu – yang membuat liputan tentang polis di bandar raya itu – terkena kira-kira 20 butir peluru dan menuntut agar pihak berkuasa membuat siasatan.

Menteri Keselamata­n Julian Pacheco memberitah­u HCH bahawa sebuah pasukan sudah digerakkan untuk menyiasat kematian akibat tembakan tersebut.

Sejak 2003, 69 pekerja media sudah terkorban di Honduras, menurut data daripada Suruhanjay­a Hak Asasi Manusia Kebangsaan.

Hanya kira- kira empat sahaja daripada kes- kes tersebut sudah disiasat oleh pihak berkuasa.

Observator­i Keganasan di Universiti Autonomi Kebangsaan Honduras menganggar­kan kadar pembunuhan di negara tersebut meliputi kira-kira 60 orang bagi setiap 100,000 penduduk, enam kali kadar purata global 8.9 yang diumumkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia