Utusan Borneo (Sabah)

Beregu Peng Soon-Liu Ying tarik diri kerana kecederaan

-

SIBU: Beregu campuran yang memenangi pingat perak pada Sukan Olimpik Rio, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, tidak akan berentap pada Kejohanan Victor Far East Malaysia Masters di Stadium Tertutup Sibu di sini, yang bermula hari ini.

Pengurus Besar Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Lawrence Chew berkata mereka tidak dapat beraksi kerana Liu Ying mengalami kecederaan pada kakinya.

“Liu Ying cedera di kaki. Ini perkara biasa apabila pemain menarik diri daripada kejohanan berikutan kecederaan atau sebab-sebab tertentu,” katanya semasa meninjau persiapan akhir kejohanan itu di stadium tersebut kelmarin.

Beregu pilihan pertama kejohanan itu dijadualka­n bertemu pasangan Indonesia Yehezkiel Mainaky-Lyanny Ale Mainaky pada pusingan pertama perlawanan kelayakan itu hari ini.

Chew berkata beberapa pemain lain, yang sudah mendaftar bagi kejohanan itu, turut menarik diri tetapi nama mereka akan hanya diketahui selepas menyuarat pengurus-pengurus pasukan petang kelmarin.

Sehingga kini, kira- kira 90 peratus pemain sudah tiba di Sibu dan berlatih di gelanggang kejohanan di Stadium Tertutup Sibu kelmarin.

Sementara itu, kehadiran pemain perseorang­an wanita India, Saina Nehwal bersama- sama dua rakan lelakinya di sebuah kedai makan di Jalan Tuanku Osman di sini tidak disedari pengunjung kedai berkenaan.

Seorang pengunjung Judan Bungap berkata beliau tidak mengenali pemain itu kerana tidak pernah melihatnya sebelum ini.

“Betullah, ( dia) Saina Nehwal,” katanya selepas melakukan pencarian di Google.

Kejohanan itu, yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruha­n sebanyak US$120,000 bermula dengan pusingan kelayakan pada 8.30 pagi ini.

Tiada bayaran dikenakan untuk masuk menyaksika­n kejohanan itu di Stadium Tertutup Sibu. - Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia