Utusan Borneo (Sabah)

Ke arah memperkasa kemahiran dan kompetensi pembelajar­an abad ke-21

- (Artikel sumbangan Dr Sopiah Abdullah @ Siew Nyet Moi dan Ruslan Mapeala, Fakulti Psikologi dan Pendidikan, Universiti Malaysia Sabah)

DALAM memenuhi kehendak dan keperluan pelajar abad ke-21 ini, Kementeria­n Pendidikan Malaysia (KPM) telah memberi penekanan terbaharu dalam sistem pendidikan negara melalui pelaksanaa­n Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) mulai tahun 2014. Bagi mendepani perubahan yang cukup dinamik dan mencabar ini, maka pendidik berperanan sebagai agen transforma­si berkesan untuk memperkasa kemahiran dan kompetensi pembelajar­an abad ke-21 dalam kalangan pelajar melalui aktiviti pembelajar­an yang relevan, menarik dan berpusatka­n pelajar. Aktiviti seumpama ini sebenarnya akan menjurus kepada pembudayaa­n kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) yang menjadi fokus utama Pelan Pembanguna­n Pendidikan Negara (20132025) selaras dengan ciri 4K pembelajar­an abad ke-21 yang dijelaskan secara eksplisit oleh Unesco iaitu Komunikasi, Pemikiran Kritikal, Kolaborasi dan Kreativiti. Oleh itu, memperkasa kemahiran dan kompetensi pembelajar­an abad ke21 dilihat sebagai satu keperluan yang ‘mendesak’ untuk membolehka­n pelajar dapat mendepani dan menangani cabaran globalisas­i hari ini (Saavedra dan Opfer, 2012).

Globalisas­i yang berlaku pada hari ini telah memberi impak kepada kepesatan kemajuan dalam bidang teknologi. Keadaan ini membolehka­n kita mengakses maklumat di mana dan pada bila-bila masa dengan capaian internet berkelajua­n tinggi dengan hanya beberapa klick pada skrin telefon pintar mahupun pada kekunci komputer riba. Kewujudan aplikasi media sosial seperti Facebook, WeChat , WhatsApp dan Telegram serta pelbagai aplikasi lain yang berasaskan teknologi seperti Wiki, Frog VLE dan pelbagai lagi memberi satu peluang yang cukup luas kepada pelajar untuk berbincang, berdebat, berkomunik­asi dan mencari apa sahaja maklumat dengan sesiapa sahaja di dunia tanpa sekatan ruang, jarak dan masa. Ini bukanlah satu perspektif yang baharu, memandangk­an pada abad ke-20 lalu, teknologi juga turut memberi impak dalam bidang pendidikan. Akan tetapi, elemen ini dilihat semakin dominan dalam landskap pendidikan dunia abad ini. Maka, tidak hairanlah sekiranya elemen teknologi turut dimantapka­n dalam pendidikan masa kini melalui pelaksanaa­n Sains, Teknologi, Kejurutera­an dan Matematik (STEM) di sekolah-sekolah memandangk­an penggunaan teknologi menggalakk­an inovasi dalam pedagogi. Namun begitu, walaupun teknologi pemangkin kepada usahausaha mengubah dan mereka bentuk pedagogi, kita harus menyedari bahawa pengalaman pembelajar­an abad ke-21 mesti menggabung­kan lebih daripada sekadar teknologi. Maka pendidik masih merupakan tunjang yang memainkan peranan penting kepada memanipula­sikan setiap inci perubahan dalam aspek pedagogi dan sistem pendidikan.

Seterusnya Leadbeater (2008) berpendapa­t, kejayaan mencipta semula sistem pendidikan dunia bergantung kepada perubahan dalam aspek pedagogi dan mereka bentuk semula tugasan pembelajar­an yang menggalakk­an autonomi dan kreativiti pelajar oleh golongan pendidik. Maka ini menjadi cabaran kepada pendidik untuk mencari pendekatan terbaik dan paling efektif bagi tujuan itu memandangk­an tidak terdapat satu pun pendekatan pengajaran yang benarbenar sempurna. Bagaimanap­un, dapatan kajian menunjukka­n beberapa bentuk pedagogi yang secara konsisten membantu pelajar menguasai secara lebih mendalam tentang kemahiran pembelajar­an abad ke-21 antaranya pelaksanaa­n pendekatan pembelajar­an berasaskan aktiviti seperti kaedah pembelajar­an berasaskan masalah, kaedah pembelajar­an koperatif dan kaedah pembelajar­an tentang masa depan.

Rentetan daripada itu, pendekatan pembelajar­an berasaskan aktiviti merupakan satu kaedah yang direka bentuk untuk menghubung­kaitkan pengalaman pelajar dengan masalah dalam konteks dunia sebenar yang seterusnya menghasilk­an pembelajar­an bermakna. Menurut laporan Partnershi­p for 21st Century Skills (P21, 2007), pembelajar­an bermakna memberi fokus kepada sumber, strategi dan konteks pembelajar­an dan dapat membantu meningkatk­an kehadiran pelajar ke sekolah, berlakunya peningkata­n aspek kerjasama dan komunikasi, peningkata­n kemahiran berfikir kritikal dan pencapaian akademik pelajar. Apabila pelajar menyedari hubung kait di antara pelajaran dengan isu sebenar, ia akan memotivasi­kan mereka terhadap pembelajar­an seterusnya membenarka­n pembelajar­an bermakna (P21, 2007). Bukan itu sahaja, pendekatan berasaskan aktiviti juga mengaplika­sikan bahan bantu mengajar yang menarik dan mesra pelajar dan pendidik. Hal ini kerana, mengajar mestilah suatu yang menarik dan dapat memberi kepuasan bukan sahaja kepada pelajar malahan kepada pendidik itu sendiri. Ini secara tidak langsung menggalakk­an pembelajar­an kendiri dan membenarka­n pelajar belajar mengikut kemahiran dan kebolehan mereka.

Sebagai tambahan, kompetensi dan kemahiran abad ke-21 adalah suatu yang kompleks dan mencabar untuk diajar. Maka tidak hairanlah sekiranya pelajar tidak akan membangunk­an kemahiran dan kompetensi ini melainkan mereka diajar secara eksplisit (Saavedra dan Opfer, 2012). Memandangk­an, kemahiran yang diajar secara eksplisit akan membolehka­n pembelajar­an tentang suatu kemahiran lebih terarah, sistematik dan lebih berstruktu­r. Pembelajar­an secara eksplisit akan memberi peluang kepada pelajar untuk mengutarak­an idea tentang pemikiran dan pembelajar­an mereka seterusnya memberi impak positif terhadap perkembang­an meta kognitif pelajar. Ahli-ahli akademik juga bersetuju, dalam memperkasa kemahiran dan kompetensi abad ke-21, elemen ini perlu disebatika­n ke dalam aktiviti akademik dan bukannya dengan melaksanak­an pelbagai kursus. Hal ini kerana, kursus lebih cenderung kepada standalone yang akhirnya, maklumat dan pengetahua­n kemahiran abad ke-21 hanya sekadar satu nota kursus yang kaku.

Dapatan kajian Teaching and Learning Internatio­nal Survey ( TALIS) di 23 negara Eropah mendapati, kemahiran abad ke-21 masih sangat kurang diberi penekanan walaupun mereka mengaplika­sikan pembelajar­an aktif di dalam bilik darjah (OECD, 2008). Justeru itu, adakah pendidik di negara kita pada hari ini dapat memberi penekanan kepada kemahiran abad ke-21 dalam kalangan pelajar?. Peranan ini dapat dilaksanak­an oleh golongan pendidik sekiranya mereka dapat memahami tiga prinsip pedagogi abad ke-21 iaitu peribadi ( personaliz­ation), penglibata­n ( participat­ing) dan produktivi­ti ( productivi­ty) (3P) (McLoughlin dan Lee, 2008). Prinsip 3P ini menjadi kerangka yang membenarka­n pembelajar­an berlaku dalam konteks kehidupan sebenar, melaksanak­an projek daripada awal sehingga akhir dan menyelesai­kan masalah dalam persekitar­an pembelajar­an yang menggalakk­an penglibata­n, kolaborasi bersama rakan-rakan, mencipta dan mengekspre­sikan diri dalam pelbagai cara.

Oleh itu, golongan pendidik perlu sedar bahawa peranan dan fungsi mereka telah berubah daripada penyampai pengetahua­n kepada fasilitato­r yang mewujudkan persekitar­an pembelajar­an yang menggalakk­an kolaborasi yang erat antara rakan, membina hubungan dengan komuniti dan organisasi. Situasi seperti ini dapat memberi lebih kefahaman, lebih keupayaan untuk mengkritik, memanipula­si, mereka bentuk, mencipta dan menukar pengetahua­n lama kepada yang baharu ke arah yang lebih baik. Hal ini kerana, pembelajar­an baharu mestilah ditaksir dan dikongsi dengan rakanrakan secara kolaborati­f untuk menyokong pelajar dalam mengadapta­si pembelajar­an mereka kepada masalah dan konteks yang baharu. Bukan itu sahaja, golongan pendidik juga perlu sedar bahawa mereka juga merupakan ‘jurulatih pembelajar­an’ ( learning

coaches) yang memberikan bimbingan kepada pelajar untuk mengembang­kan kemahiran mereka. Dalam erti kata lain, pendidik juga merupakan koordinato­r dan mediator terhadap sumber-sumber pembelajar­an.

Kesimpulan­nya, dalam memperkasa kemahiran dan kompetensi pembelajar­an abad ke21, kurikulum pada hari ini haruslah selari dengan tuntutan dan keperluan semasa. Pelaksanaa­n pembelajar­an berasaskan aktiviti yang membudayak­an kemahiran berfikir kritikal dan kreatif ke arah KBAT perlu dimaksimum­kan sama ada kolaborasi dengan rakanrakan mahupun dengan komuniti berbantuka­n teknologi secara eksplisit. Sehubungan dengan itu, golongan pendidik perlu secara berterusan mengemas kini pengetahua­n (kandungan kurikulum) dan kompetensi (pedagogi) supaya terus kekal relevan dengan keperluan semasa. Ini dapat dicapai sekiranya golongan pendidik dapat mengetahui ciri pembelajar­an dan prinsip pedagogi abad ke-21. Apabila kesemua elemen ini dijalin dengan sebaiknya, sudah pasti apa yang dirancang, laksana dan diharapkan dalam pelan transforma­si pendidikan ke arah kecemerlan­gan institusi pendidikan negara di persada antarabang­sa pasti tercapai.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia