Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar UMS kembali lagi
KOTA KINABALU: Pihak pengurusan Universiti Malaysia Sabah ( UMS) menetapkan tanggal 19 Oktober 2016 sebagai tarikh untuk memilih semula barisan kepimpinan baharu Majlis Perwakilan Pelajar ( MPP) UMS oleh semua mahasiswa di UMS Kampus Induk, UMSKAL di Wilayah Persekutuan Labuan dan Fakulti Pertanian Lestari di Sandakan.
Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Pelajar dan Alumni UMS Prof Madya Dr Ismail Ali
(gambar) berkata Pemilihan MPP ( PMPP) bukannya ‘pilihan raya kampus’ atau ringkasnya PRK atau sama tarafnya dengan pilihan raya umum atau negeri.
Menurut beliau PMPP adalah antara salah satu bentuk pembangunan kepimpinan mahasiswa yang dilaksanakan oleh semua universiti awam di negara ini setiap kali bermulanya sesi pengajian baharu.
Tujuan utamanya adalah untuk memberi ruang kepada warga mahasiswa memilih barisan kepimpinan baharu bagi mewakili semua mahasiswa dan menggantikan barisan kepimpinan lama.
Ismail berkata PMPP adalah satu platform yang cukup penting kepada para mahasiswa untuk mempertingkat dan menyerlahkan lagi daya kepimpinan mereka.
Dalam konteks pentadbiran universiti pula, kewujudan MPP juga begitu signifikan kerana menjadi jambatan yang menghubungkan di antara pihak pengurusan universiti dengan para mahasiswa dalam membincangkan pelbagai halehwal kemahasiswaan seperti pembangunan akademik, kepimpinan, kerjaya, kebajikan, kemasyarakatan, bakat, sahsiah, jatidiri dan sebagainya.
Dalam PMPP UMS sesi 2016/2017, sebanyak 32 kerusi akan dipertandingkan iaitu 10 kerusi umum dan 22 kerusi di peringkat fakulti.
Dari segi agihan kerusi umum, sebanyak tujuh kerusi akan dipertandingkan di UMS Kota Kinabalu, dua kerusi di UMSKAL dan satu kerusi di Sandakan, dan bagi agihan kerusi di peringkat fakulti, sebanyak dua kerusi bagi mewakili 10 fakulti yang ada di UMS.
Mengulas perkembangan penamaan calon yang diadakan pada 14 Oktober, Ismail berkata barisan ProAspirasi dari lima fakulti menang tanpa bertanding iaitu Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan, Fakulti Sains dan Sumber Alam, Fakulti Kejuruteraan, Pascasiswazah dan Fakulti Komputeraan dan Informatik.
Menurut beliau PMPP UMS sesi 2016/2017 akan menggunakan sistem e-undi bermula jam 9 pagi hingga 7 malam dan keputusan penuh PMPP UMS dijangka akan diumumkan pada jam 8 malam bertempat di Perpustakaan UMS.
Sementara itu, pembentukan Kabinet dan penyampaian watikah pelatikan barisan MPP baharu dijangka akan diadakan pada 20 Oktober 2016 yang disempurnakan oleh Prof Datuk Dr Mohd Harun Abdullah selaku Naib Canselor UMS.
Bagi pihak pengurusan UMS, Harun mengharapkan agar semua mahasiswa menunaikan tanggungjawab masing-masing dan barisan kepimpinan MPP yang akan dibentuk kelak akan menjalankan fungsi dan tanggungjawab mereka dengan penuh dedikasi dan berintegriti selaras dengan misi dan visi Kementerian Pendidikan Tinggi untuk melahirkan mahasiswa yang berketrampilan dan holistik serta berjiwa Malaysia baik di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.
Beliau yang mewakili semua pihak pengurusan UMS turut mengucapkan terima kasih kepada semua barisan kepimpinan MPP sesi 2015/ 2016 yang telah melaksanakan tugas dengan baik dan banyak membantu ke arah kecemerlangan UMS.