Utusan Borneo (Sabah)

“Saya mahu cipta rekod” tekad wakil Terengganu bagi ‘Spell It Right Challenge’

-

KUALA NERUS: “Saya mahu cipta rekod bahawa kami pelajar sekolah di pinggir bandar mampu memperoleh kejayaan setanding pelajar di sekolahsek­olah cemerlang lain”.

Itu tekad Mohd Ikhwan Mohd Azlan, 17, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Kemunting di sini yang terpilih mewakili Terengganu dalam pertanding­an Spell It Right Challenge peringkat kebangsaan di Kuala Lumpur, Sabtu ini.

Katanya, segala persiapan telah dibuat seperti membaca kamus dan merujuk buku-buku bahasa Inggeris bagi membantu beliau memahirkan diri dengan perkataan dan ejaan sebagai persiapan ke pertanding­an itu.

“Saya akan cuba buat yang terbaik bagi mencipta sejarah tersendiri memenangi pertanding­an itu sekaligus bagi menaikan nama sekolah ini dan mengharumk­an Terengganu,” kata anak sulung daripada lima beradik itu kepada Bernama di sini.

Sementara itu, Pengetua SMK Padang Kemunting Mohd Nasir Ismail berkata, warga sekolah memang mengharapk­an pelajar kesayangan sekolah itu memperoleh­i kejayaan pada pertanding­an itu.

“Kami guru- guru di sini bersemanga­t, telah mengumpul sedikit duit untuk membeli tiket penerbanga­n bagi adik Mohd Ikhwan dan guru pengiring ke pertanding­an itu Sabtu ini. Kami berdoa agar pelajar kami ni memperoleh­i kejayaan,” katanya.

Harapan serupa disuarakan bapa pelajar itu, Mohd Azlan Mohammad, 43, yang berharap penyertaan anaknya itu dapat membakar semangat dan sebagai pendorong kepada empat adiknya yang berumur antara 16 dan 7 tahun. - Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia