Utusan Borneo (Sabah)

Penduduk Kpg Sorak Sumpung nafi wujud pelancaran belia PBDS Baru

-

SERIAN: Penduduk Kampung Sorak Sumpung membuat penafian keras bahawa Parti Bansa Dayak Sarawak ( PBDS) Baru melancar pergerakan belia di Balai Raya kampung berkenaan baru-baru ini.

Pemangku ketua kaum kampung,Thomas Panying menyatakan bahawa pada tarikh 2 Julai lepas, majlis penutupan Gawai diadakan di balai raya berkenaan dan tiada kena mengena dengan majlis politik atau PBDS Baru.

Sebaliknya Thomas mendakwa, Ketua Pemuda PBDS Baru Mark Murau Sumon membuat kenyataan palsu berhubung majlis itu kerana mahu publisiti murahan.

“Kenayataan Mark majlis berlangsun­g serentak pelancaran Pergerakan Belia PBDS Baru adalah tidak benar kerana dia sendiri salah seorang tetamu majlis,” katanya.

Kata Thomas lagi, tiada sebarang program pelancaran berlaku kerana Mark hadir seperti ratusan tetamu lain.

“Saya ( Ketua Gawai,) ‘pinuuh gawai’ datang ke Balai Raya pada jam 8.30 malam dan berada di sana untuk melihat keadaan majlis penutupan Gawai seperti yang dirancang sebelum ini.

“Apabila tiba masa menggulung tikar, saya menjemput beberapa tetamu menyertai saya termasuk Mark sendiri. Saya berharap Mark tidak berfikir bahawa beliau melancar pergerakan belia parti itu,” kata Thomas.

Beliau menjelaska­n bahawa jawatankua­sa penganjur mengeluark­an jemputan kepada rakan dan saudara- mara di kampung jiran untuk mengambil bahagian dalam upacara penutupan gawai tersebut.

“Tahun ini, kami membuat kelainan memeriah majlis dengan membawa masuk penyanyi Indonesia M. Bujoi dan tiga artis dangdut lain dari kawasan sempadan. Seperti yang dijangka, festival kami menarik kumpulan besar, “katanya.

Dilaporkan pada 9 Julai, PBDS Baru menubuhkan pergerakan belia semasa program outreach parti itu di Kampung Sorak Sumpung dalam acara ‘dihadiri oleh pemimpin parti dan orang ramai yang kononnya penyokong.

Laporan itu memetik Mark sebagai menyeru belia Dayak untuk menyertai parti supaya mereka boleh mengambil bahagian dalam pelbagai program dan dipersiap sebagai pemimpin masa depan.

Beliau pernah bertanding atas tiket PBDS Baru dalam pilihan raya 7 Mei bagi DUN Kedup.

Kelima-lima calon PBDS Baru termasuk Mark kalah dan sekurang-kurangnya empat daripada mereka dikatakan hilang wang pertaruhan.

Pengerusi Kampung Sorak Sumpung Ladies Guild, Apen Thomas, berkata parti politik dan ahli politik perlu melakukan perkara lebih baik daripada cuba meraih secara percuma bagi mendapatka­n publisiti murahan.

Menurut Apen, ramai kawan datang ke acara penutupan Gawai berkata mereka terkejut dengan kenyataan Mark bahawa beliau melancarka­n gerakan belia parti itu bersama banyak penyokong.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia