Harian Metro

Bidan terjun isteri bersalin

Lelaki kongsi pengalaman cemas sambut sendiri kelahiran anak ketiga di rumah

- Oleh Redzuan Muharam redzuan.muharam@hmetro.com.my

Perasaan gementar, cemas, panik dan takut dirasai seorang suami, Shahril Nizam Mohd Sabrie ketika menjadi bidan terjun bagi membantu isterinya, Siti Mariani Mior Hasan melahirkan cahaya mata ketiga mereka.

Ia selepas Siti Mariani, 37, tidak sempat dibawa ke hospital kerana terlebih dulu melahirkan anak di rumah mereka dekat Presint 9 di sini, kelmarin.

Bagaimanap­un, kegusaran Shahril Nizam, 41, itu lenyap selepas bayinya yang belum diberi nama selamat dilahirkan jam 3.35 petang.

Berkongsi kisah berkenaan, Shahril Nizam berkata, isterinya dijangka bersalin hari ini dan dia tidak sangka anak mereka dilahirkan sehari lebih awal walaupun sudah bersiap sedia dengan segala kemungkina­n.

“Saya tidak bekerja semalam (kelmarin) dan ada di rumah bersama isteri dengan dua anak kami.

“Ada pelanggan mahu beli telefon bimbit, tetapi saya minta dia datang ambil di rumah kerana isteri sedang menunggu masa bersalin.

“Selesai urusan dengan pelanggan, saya terus naik ke rumah, tetapi terus panik apabila anak beritahu isteri menangis sebab tidak tahan sakit mahu bersalin,” katanya.

Tanpa berlengah, Shahril Nizam terus menghubung­i ambulans untuk membawa isteri ke hospital.

Bagaimanap­un, katanya, keadaan semakin cemas apabila Siti Mariani mengerang kesakitan menyebabka­n operator di talian memberi tunjuk ajar kepadanya mengenai apa perlu dilakukan sementara menunggu ambulans tiba.

“Saya buntu dan tidak tahu apa perlu dibuat kerana hendak mengangkat isteri pun tidak berani kerana keadaannya sarat.

“Jadi, saya hanya dengar tunjuk ajar operator di talian yang minta bantu baringkan dahulu kepala isteri di atas bantal dan lapik badannya dengan tuala.

“Saya memang gementar tetapi mahu atau tidak, saya perlu lakukannya walaupun tangan menggigil kerana tiada pengalaman berdepan situasi seperti itu,” katanya.

Shahril berkata, dia risau jika bayinya lemas dan tidak dapat diselamatk­an.

“Bagaimanap­un, saya tenangkan isteri dan beri semangat kepadanya untuk meneran.

“Alhamdulil­lah, isteri selamat bersalin. Saya bersyukur dan rasa mahu menangis selepas menyambut kelahiran anak serta melihat wajahnya di dalam pangkuan,” katanya.

Menurut Shahril Nizam, pengalaman itu terlalu berharga dan tidak mungkin dilupakan.

Katanya, sebelum ini dia pernah menemani isteri di wad bersalin ketika menyambut kelahiran anak sulung, Rifqi Mikhail, 7, dan kedua, Raqib Zayyan, 6, tetapi hanya berada di sisi memberi kata semangat.

“Kali ini, saya sendirian membantu isteri menyambut kelahiran bayi kami.

“Memang mencabar tetapi saya bersyukur dan berterima kasih kepada operator di talian yang membantu saya dalam waktu mencemaska­n itu.

“Isteri baru pulang hari ini (semalam) dan bayi kami masih berada di wad untuk pemantauan. Saya di rumah kerana tidak dibenarkan melawat kerana terikat dengan prosedur operasi standard (SOP),” katanya.

Saya perlu lakukannya walaupun tangan menggigil kerana tiada pengalaman Shahril Nizam

 ??  ?? SHAHRIL Nizam menyambut kelahiran anaknya yang dilahirkan sehari lebih awal daripada tarikh jangkaan.
SHAHRIL Nizam bersama isteri dan dua anaknya.
SHAHRIL Nizam menyambut kelahiran anaknya yang dilahirkan sehari lebih awal daripada tarikh jangkaan. SHAHRIL Nizam bersama isteri dan dua anaknya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia