Harian Metro

Baiki kenderaan guna alat ganti curi

-

Manjung:

Kegiatan seorang mekanik membaiki kerosakan kenderaan menggunaka­n alat ganti curi terbongkar dalam serbuan ke atas sebuah bengkel diserbu di Changkat Keruing, Ayer Tawar di sini.

Serbuan pada jam 9 malam 30 April lalu dilakukan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung selepas menerima maklumat.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, pemeriksaa­n menemui empat motosikal dan dua lori disyaki kenderaan curi di premis berkenaan.

“Nombor casis kenderaan juga diganggu usik dan semakan mendapati tiga motosikal itu dilaporkan hilang di Pantai Remis, Sitiawan dan Dang Wangi, Kuala Lumpur.

“Suspek mendakwa kenderaan itu dihantar oleh seorang lelaki dan dia tidak mengetahui ia adalah kenderaan curi. Kita percaya bahagian kenderaan itu dileraikan untuk mendapatka­n alat ganti,” katanya pada sidang media, semalam.

Katanya, lelaki berusia 36 tahun berkenaan dipercayai melakukan kegiatan itu sejak lebih setahun dan membuka bengkel bersebelah­an dengan rumahnya.

“Pembabitan individu dalam kegiatan ini juga dipercayai lebih daripada seorang di mana individu yang mencuri serta membawa kenderaan itu adalah orang berbeza namun siasatan lanjut masih dilakukan,” katanya.

Katanya, pemeriksaa­n lanjut di kawasan berkenaan turut menemui 106 kabel elektrik dipercayai dicuri dalam dan luar daerah ini.

“Kita akan membuat pengesahan kabel itu dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB),” katanya.

Menurutnya, suspek kini disambung reman sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A dan Seksyen 431A Kanun Keseksaan.

Katanya, semakan mendapati suspek tiada rekod jenayah dan saringan ujian air kencing juga mendapati dia negatif dadah.

 ??  ?? NOR Omar (dua dari kanan) melihat motosikal yang dipercayai dicuri.
NOR Omar (dua dari kanan) melihat motosikal yang dipercayai dicuri.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia