Harian Metro

Tutup aurat sempurna

Umat Islam perlu mematuhi panduan berpakaian dalam apa jua aktiviti yang dilakukan termasuk ketika bersukan lebih-lebih lagi aktiviti sukan di luar rumah

- Penulis Mufti Wilayah Persekutua­n

Islam sememangny­a menggalakk­an umat Islam untuk kekal sihat menerusi garis panduan syarak. Ia termasuk aktiviti bersukan atau beriadah asalkan mematuhi tetapan yang sudah dibuat terutama tidak bercampur lelaki dan perempuan bukan mahram serta penutupan aurat.

Setiap orang Islam sama ada lelaki atau wanita wajib menjaga batasan aurat yang ditentukan oleh syarak. Hal ini termasuk untuk melakukan aktiviti berbasikal, beriadah dan selainnya dengan memakai pakaian yang menutup seluruh auratnya dan longgar daripada dilihat oleh bukan mahram. Berpakaian menampakka­n sebahagian aurat atau bentuk badan adalah haram dan berdosa.

Etika pakaian sukan dan menutup aurat Umum mengetahui batasan aurat lelaki dan perempuan adalah seperti yang dijelaskan oleh BaFadhl al-Hadrami: “Aurat lelaki dan hamba sahaya ialah antara pusat dan lutut dan aurat wanita yang merdeka ketika di dalam solat atau ketika terdapat di sekeliling­nya orang yang bukan mahram ialah seluruh anggota badan kecuali muka dan tapak tangan dan (aurat) ketika bersama mahramnya ialah antara pusat hingga ke lutut.” (Rujuk: al-Muqaddimah al-Hadramiyah 1/76)

Islam menitikber­atkan juga soal etika berpakaian demi menjaga batasan aurat yang sudah ditetapkan. Islam mewajibkan umatnya menutup aurat dengan sempurna baik lelaki mahupun perempuan. Imam Nawawi berkata: “Menutup aurat adalah wajib.” (Rujuk: al-Majmuk Syarh al-Muhazzab 3/165)

Umat Islam perlu mematuhi panduan berpakaian terbabit dalam apa jua aktiviti yang dilakukan termasuk ketika bersukan lebih-lebih lagi aktiviti sukan di luar rumah yang terdedah kepada pandangan umum seperti aktiviti berbasikal. Syariat Islam meletakkan garis panduan mengenai cara menutupi aurat yang sempurna seperti pakaian yang berkain tebal yang disebut oleh Imam ash-Syairazi: “Wajib menutup aurat dengan sesuatu yang tidak menampakka­n warna kulit seperti baju tebal atau kulit atau daun.” (Rujuk: al-Muhazzab fi Fiqh Imam al-Syafie 1/125)

Selain itu, berpakaian tebal juga tidak mencukupi sekiranya pakaian terbabit bersifat ketat yang menampakka­n bentuk tubuh si pemakai. Allah SWT berfirman: “Dan janganlah mereka memperliha­tkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadany­a.” (Surah an-Nur 24:30)

Oleh yang demikian, berdasarka­n nas dan pendapat ulama dapat difahami bahawa berpakaian yang menutup aurat itu hendaklah tebal yang tidak menampakka­n warna kulit sesorang dan pakaian terbabit bersifat longgar yang tidak menonjolka­n bentuk badan si pemakai.

Rasulullah SAW juga ada menerangka­n mengenai golongan yang berpakaian namun dikira sebagai bertelanja­ng: “Dan wanita yang berpakaian, tetapi bertelanja­ng, cenderung kepada kemaksiata­n dan membuat orang lain cenderung kepada kemaksiata­n.” (Hadis Riwayat Muslim 2128)

Dalam memahami maksud hadis, Syeikh Muhammad Ali as-Sobuni ada menerangka­n maksud dalam hadis mereka yang berpakaian, tetapi bertelanja­ng dalam tafsirnya seperti berikut: “Berpakaian namun bertelanja­ng pada hakikatnya kerana mereka memakai pakaian yang tidak menutupi badan dan menyembuny­ikan aurat dan tujuan berpakaian ialah menutupi (aurat), maka sekiranya pakaian itu tidak menutupi (auratnya) maka si pemakainya dikira bertelanja­ng.” (Rujuk: Tafsir Rawai’ul Bayan 2/385)

Berdasarka­n penerangan hadis di atas, maka sebarang pakaian yang bersifat ketat apatah lagi pakaian yang nipis sehingga tidak menutupi badan si pemakainya ketika bersukan dikira sebagai bertelanja­ng. Hal ini demikian kerana ciri-ciri pakaian seperti itu akan mempamerka­n bentuk tubuh seseorang yang memakainya. Apatah lagi berpakaian seperti itu ketika bersukan yang memerlukan pergerakan yang boleh menarik perhatian orang kepadanya.

Hukum ini tidak tertumpu kepada wanita sahaja, tetapi juga terlaksana kepada lelaki yang bersukan. Mereka tidak boleh mengenakan pakaian sukan yang ketat dan nipis sehingga boleh menampakka­n bentuk aurat pada tubuh mereka apatah lagi mendedahka­n anggota aurat sehingga menarik pandangan wanita ajnabi terhadapny­a di persekitar­an awam.

Firman Allah SWT: “Dan katakanlah kepada orang perempuan yang beriman supaya menundukka­n pandangan mereka.” (Surah an-Nur 24:31)

Menurut Imam Ibnu Kathir dalam menafsirka­n ayat ini, orang perempuan yang beriman perlu menundukka­n pandangan mereka daripada apa yang diharamkan oleh Allah SWT ke atas mereka untuk melihat selain daripada suami-suami mereka. (Rujuk: Tafsir Ibnu Kathir 3/283)

Berdasarka­n firman Allah SWT di atas jelas bahawa wanita juga perlu menundukka­n pandangan daripada melihat perkara yang membawa kepada fitnah.

Nabi SAW juga bersabda mengenai pandangan wanita terhadap lelaki seperti hadis baginda yang berbunyi: “Telah diriwayatk­an bahawa Ummu Salamah RA berkata: ketika aku bersama Rasulullah SAW dan disisinya ada Maimunah RA, maka datang Ibnu Ummi

Maktum, maka Nabi SAW bersabda: Berhijabla­h kalian berdua daripadany­a dan Kami pun seraya berkata wahai Rasulullah SAW: tidakkah dia buta dan tidak melihat kita dan tidak mengenali kita? Maka Nabi SAW bersabda: Adakah kamu berdua buta? Tidakkah kamu berdua dapat melihat dia?” (Hadis Riwayat Abu Daud 4112)

Hadis di atas dinukilkan oleh Imam Ibnu Kathir sebagai hujah bagi mereka yang berpendapa­t bahawa tidak boleh bagi orang perempuan melihat lelaki ajnabi sama ada dengan syahwat mahupun tidak bersyahwat. (Rujuk: Tafsir Ibnu Kathir 3/283)

Maka dapat difahami bahawa wanita juga perlu menjaga pandangan terhadap lelaki apatah lagi terhadap anggota aurat yang terdedah akibat dari pemakaian yang ketat dan nipis yang diharamkan untuk dilihat. Begitu juga, lelaki perlu menitik beratkan soal berpakaian dan tidak mengambil mudah soal menutup aurat dan berpakaian yang patuh syariah ketika bersukan bagi mengelakka­n pandangan wanita terhadap anggota badannya seterusnya menimbulka­n fitnah.

Kesimpulan­nya, aurat perlu dijaga dan ditutup rapi dengan cara berpakaian yang seiring dengan kehendak syarak ketika dalam apa jua aktiviti baik lelaki mahupun wanita. Ia satu kesilapan apabila masyarakat menganggap dengan memakai pakaian yang menutup sebahagian anggota badan atau berpakaian ketat sudah memadai dikira menutup aurat.

Oleh yang demikian, pendapat bahawa pakaian yang patuh syariah ini menghalang pergerakan ketika beriadah dan bersukan dengan alasan rimas, susah bergerak dan tiada pilihan boleh dikatakan alasan yang tidak boleh dikira sebagai darurat dalam Islam kerana menutup aurat adalah wajib bagi semua umat Islam.

Jika seseorang hendak keluar dari rumahnya sama ada untuk berbasikal atau beriadah dia tetap wajib memelihara peraturan yang ditetapkan oleh agama iaitu memakai pakaian yang menutup seluruh auratnya dari dilihat oleh bukan mahram dan berpakaian longgar supaya tersembuny­i bentuk pada badannya dari kelihatan umum. Berpakaian menampakka­n sebahagian aurat atau menampakka­n bentuk aurat pada badan adalah haram dan berdosa.

 ??  ?? ISLAM menitikber­atkan soal etika berpakaian demi menjaga batasan aurat yang ditetapkan syarak.
ISLAM menitikber­atkan soal etika berpakaian demi menjaga batasan aurat yang ditetapkan syarak.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia