‘Bala’ kad merah
Arahan keluar padang terhadap Christensen mudahkan tugas Liverpool atasi Chelsea
Sadio Mane berkata, layangan kad merah pada separuh masa pertama kepada Andreas Christensen ternyata mencetus kemenangan bergaya Liverpool ke atas Chelsea, 2-0 di Stamford Bridge.
Christensen diperintah keluar padang hanya beberapa minit sebelum waktu rehat selepas menjatuhkan penyerang kebangsaan Senegal itu yang dilihat berpeluang meledak gol di kawasan lawan.
Mane muncul wira The Reds selepas menjaringkan dua gol pada separuh masa kedua perlawanan.
‘‘Sememangnya ia perlawanan sengit, terutama pada separuh masa pertama,’’ kata Mane kepada Sky Sports.
‘‘Kami dapati cukup sukar mencipta peluang. Apabila mereka memperoleh kad merah, ia menjadi lebih mudah dan kami mampu mencipta banyak peluang serta menjaringkan dua gol. Kami berhak menang perlawanan itu.’’
Selain meraikan Liverpool memperoleh enam mata, peminat penyandang juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu juga berpeluang melihat aksi bintang baharu kelab itu, Thiago Alcantara yang membuat kemunculan pertama pada babak kedua permainan.
Sekalipun hanya beraksi 45 minit pemain tengah dari Sepanyol itu berjaya mempamerkan beberapa hantaran kemas selain mencipta ruang buat pasukan.
Aksi The Reds mendapat pujian pengendalinya, Jurgen Klopp yang menyifatkan barisan pemainnya mempamer aksi konsisten sebelum Christensen dilayangkan kad merah lagi.
‘‘Inilah yang perlu kami pamerkan sepanjang masa. Amat penting bagi kami mempamerkan kemampuan sebenar dan saya dapat menyaksikannya pada perlawanan ini,’’ katanya.
Sementara itu, Frank Lampard mengakui
Chelsea memerlukan masa merapatkan jurang dengan Liverpool di tangga teratas liga selepas kekalahan itu.
‘‘Setiap pasukan yang mengecapi kejayaan memerlukan masa serta proses dan proses kami bermula daripada sekarang, bukan tahun lalu,’’ kata Lampard yang menyenaraikan dua pemain yang baharu ditandatanganinya, Timo Werner dan Kai Havertz dalam kesebelasan utama skuad itu. - Agensi