Pelawak ‘kuasai’ konti radio
adio berfungsi sebagai saluran komunikasi untuk memberikan penerangan, mendidik, menghiburkan dan menjadi saluran melancarkan propaganda.
Itu moto digunakan apabila Jabatan Penyiaran ditubuhkan di Singapura pada 1 April 1946. Pembangunan perkhidmatan radio bertambah penting apabila darurat diisytiharkan pada 1948.
Itu zaman sebelum Merdeka, namun selepas 71 tahun berlalu radio kini menjadi satu industri di Malaysia. Dalam kepesatannya, fungsi radio sudah banyak berubah. Apatah lagi kini
Malaysia memiliki hampir 80 stesen radio yang aktif beroperasi sama ada di bawah kerajaan mahupun secara komersial dan orang perseorangan.
Melihat dari jumlah kewujudan stesen radio tentu ada antara kita tertanya-tanya siapakah pendengar sasaran mereka? Dan adakah yang mahu mendengar?
Perangkaan terbaru dikeluarkan GfK RAM Wave 2, menunjukkan hampir 20 juta penduduk di Malaysia (95 peratus), mendengar radio dan ia jauh lebih tinggi berbanding pengguna medium media massa lain seperti televisyen dan akhbar.
Operasi radio ini juga dipecahkan dalam segmen tersendiri mengikut tujuan penubuhannya, sama ada menjadi saluran berita, hiburan, kerohanian mahupun perniagaan. Pilihan di tangan pendengar.
Bagaimanapun perkembangan teknologi Internet memungkinkan wujud saluran lain untuk pendengar radio beralih dan tidak lagi mendengar radio. Malah pengkaji membuat kajian industri radio akan ‘mati’ dalam jangka masa panjang.
Perangkaan penambahan pendengar, tidak mencerminkan situasi sebenar apa yang dilalui penggiat dalam industri radio itu sendiri yang mana mereka harus berdepan cabaran kewujudan saluran hiburan digital.
Mengambil contoh saluran hiburan digital popular di Malaysia seperti YouTube, Spotify dan Joox. Kewujudan teknologi podcast juga didakwa dalam jangka masa panjang akan mengambil alih fungsi radio.
Berbicara mengenai perkara ini, kebanyakan penggiat industri radio mengakui akan perkara itu dan kini mereka sedang bergelut dan bersaing bukan saja sesama stesen radio tetapi juga saluran hiburan digital.
Menjelaskan mengenai perkara ini, Ketua Ketua Audiens Melayu, Ripple yang memiliki empat stesen radio, seperti Hot FM, Kool FM, One FM dan Fly FM, Nik Nor Azura Nik Mahmood, sewaktu membincangkan mengenai isu terbabit, mengakui perkara itu.
Katanya, itu perangkaan yang dibuat pengkaji membabitkan industri radio global. Malah perkara itu turut dibincangkan dalam forum dan seminar industri radio di Malaysia.
“Sekarang ini memang kebanyakan pendengar muda sudah beralih dan mendengar lagu di beberapa saluran digital. Peralihan itu berlaku sekarang.
“Bagaimanapun seperti diperbincangkan sebelum ini, minat pendengar kepada saluran hiburan digital tidak akan bertahan lama kerana akhirnya mereka akan kembali mendengar radio kerana wujudnya fungsi penyampai,” katanya.
Kenyataan diberikan Azura juga dipersetujui Pengurus Kanan Saluran Suria, Rosalinda Abdul Majid atau DJ Lin dengan berkata, pihaknya menolak dakwaan radio di Malaysia akan pupus.
“Sungguhpun kalau perkara itu berlaku, ia akan mengambil masa bertahun-tahun kerana daripada perangkaan yang diterima baru-baru ini menunjukkan pendengar masih setia dengan stesen radio digemari.
“Kalau benar pun wujud perubahan peralihan pendengar kepada digital, ia berlaku dalam skala sangat kecil. Cuma kami percaya ia hanya membabitkan pendengar muda. Bagaimanapun dalam beberapa tempoh akan datang mereka akan kembali mendengar radio kerana sifat radio itu yang lebih ‘manusia’,” katanya.
Melihat kenyataan diberikan, ternyata penyampai radio menjadi fungsi penting kepada hidup dan matinya industri radio tempatan.
Ini bermakna formula yang dilakukan bekas Pengurus Besar Rangkaian Era FM dan Sinar FM, Kudsia Kahar yang mengangkat martabat penyampai radio sebagai selebriti dilihat penting supaya wujud kedekatan antara penyampai dan pendengar.
Evolusi industri radio yang bermula dengan pendengar jatuh cinta hanya pada suara penyampai sudah mula berubah. Pendengar mula menaruh minat terhadap personaliti penyampai itu sendiri secara keseluruhan.
Maka kerjaya sebagai penyampai radio juga sudah dikategorikan sebagai glamor kerana kegilaan peminat menyamai kecintaan mereka kepada idola diminati.
Sebagai artis mereka dibayar mengikut tugas dan penyampai radio bukan lagi satu tugas yang makan gaji dan punya pencen seperti 25 tahun lalu di mana nama seperti Prema, Noramin Mosyi Mosyi, Zainal Din Zainal dan Noraini Ibnu sangat diminati hanya dari lontaran suara mereka di konti radio.
Glamor dan status selebriti yang diwujudkan dalam kalangan penyampai radio membuatkan jangka hayat mereka dalam industri turut menjadi singkat.
Radio juga bergerak mengikut arus semasa seperti yang dinyatakan penggiatnya dan sebahagian besar penyampai radio sedia ada harus bersaing dengan pelawak yang mula mengambil tugas mereka.
Andai dulu lawak hanya digambarkan secara visual di dalam filem dan kaca televisyen, tetapi sekarang ia turut kedengaran di corong radio dan ternyata ia menjadi formula terbaru stesen radio paling berkesan dalam mengekalkan pendengar supaya berterusan mendengar radio.
Lihat saja, segmen pagi di beberapa stesen komersial yang membariskan hampir keseluruhannya pelawak dengan Shuk Balas dan Shuib Sepahtu di Hot FM, Johan di Era, Jep dan Rahim Sepah tu di Sinar dan Suria mempertaruhkan Issey.
Disebabkan pelawak ini mempunyai tarikan tinggi bagi mengekal atau menambah jumlah pendengar radio, membuatkan kebanyakan stesen radio sanggup membayar mereka dengan harga berlipat kali ganda berbanding penyampai radio sedia ada.
Mungkin ada yang melihat kehadiran pelawak sebagai penyampai radio ini cuba merampas kedudukan penyampai radio sedia ada dan membayar mereka dengan jumlah tinggi adalah tidak berbaloi.
Namun bagi pemain industri radio itu sendiri harus melakukan apa saja walaupun terpaksa berkongsi keuntungan dengan pelawak untuk mengendalikan program di stesen radio terbabit, demi memastikan radio di Malaysia terus hidup dan relevan walaupun terpaksa bersaing dengan aplikasi digital yang mula menelan saluran media massa konvensional sedikit demi sedikit.
>>Penulis Wartawan Hiburan Harian Metro