Tiada bukti komplot
Wanita dibebas daripada hukuman mati kerana bunuh suami
‘
Tiada bukti kukuh menunjukkan tertuduh merancang pembunuhan ini bersama teman lelaki”
Seorang wanita terlepas daripada hukuman mati apabila Mahkamah Rayuan di sini, membebaskannya daripada tuduhan membunuh suaminya, seorang pengurus bank di Sibu, tujuh tahun lalu.
Hakim Datuk Zabariah Mohd Yusof, Datuk Suraya Othman dan Datuk Wira Kamaludin Md Said secara sebulat suara mengenepikan keputusan mahkamah terdahulu dan menerima rayuan wanita berusia 38 tahun itu.
Zabariah yang mengetuai panel hakim berkata, keputusan itu dibuat selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal mengemukakan bukti langsung yang mengaitkan tertuduh mempunyai niat dan bersekongkol dengan teman lelakinya untuk membunuh suami.
“Semua bukti hanya dikemukakan berdasarkan keterangan keadaan dan tiada bukti kukuh menunjukkan tertuduh merancang pembunuhan ini bersama teman lelaki.
“Keterangan saksi juga tidak menampilkan fakta yang relevan untuk mengaitkan tertuduh dengan dengan pembunuhan terbabit.
“Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh tidak wajar dikemukakan terhadap tertuduh,” katanya.
Terdahulu, Ling Hang Tsyr merayu keputusan Mahkamah Tinggi Sibu pada 27 Oktober 2017 yang menjatuhkan hukuman mati terhadapnya selepas didapati bersalah atas pertuduhan bersubahat membunuh suaminya, Wong Jing Kui, 31, di rumah mereka di Jalan Ulu Sungai Merah, Sibu, jam 1.30 pagi, 14 Jun 2012.
Kerani bank bahagian pemulihan kredit itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan bersama teman lelakinya, Andrew Tiong King Guan, 31, yang belum didakwa kerana menghilangkan diri sejak 10 Februari 2015.
Kedua-dua tertuduh didakwa bersubahat dengan seorang pembunuh upahan, juga pesalah utama, Ling Hoe Ing, 30.
Hoe Ing bagaimanapun didakwa mengikut tuduhan alternatif iaitu Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan menyebabkan kematian tanpa niat untuk membunuh.
Dia kemudian menjalani hukuman penjara 16 tahun selepas mengaku bersalah pada 1 Oktober 2013.
Hang Tsyr diwakili peguam Roger Chin dan Lim Heng Choo serta prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Tengku Intan Suraya Tengku Ismail.
Zabariah