Vietnam FC handal
Tewaskan Uruguay FC dalam aksi bola sepak berkaki ayam PKBM
Vietnam FC muncul juara Kejohanan Bola Sepak Tujuh Sebelah Tanpa Kasut Musim Tengkujuh Pertubuhan Kebajikan Bumiputera Malaysia (PKBM) di Kampung Langkap, baru-baru ini selepas menundukkan Uruguay FC dengan jaringan 2-1.
Manakala Jerman FC menang tipis keatas Poland FC dengan jaringan 1-0, sekaligus berada di tempat ketiga. Ketua pasukan Vietnam FC, Sayuti Mohammad, 51, berkata, pasukannya membuat persediaan seminggu sebelum kejohanan untuk memastikan semua pemain memperolehi rentak bermain tanpa mengenakan kasut.
“Kali terakhir bermain bola secara berkaki ayam adalah ketika zaman persekolahan dulu justeru memang memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri.
“Alhamdulillah, selepas seminggu berlatih bermain bola berkaki ayam, semua pemain boleh menyesuaikan diri biarpun kerap terjatuh kerana permukaan padang basah dan licin. “Memang kami tidak menjangka boleh menang kerana ada pasukan yang bertanding lebih berpengalaman dan dibarisi pemain berbakat,” katanya.
Tambahnya, kejohanan itu pertama kali disertainya dan mengimbau kenangan ketika di alam persekolahan.
“Masa sekolah dulu mana ada duit untuk membeli kasut bola justeru bermain bola tanpa memakai kasut sudah menjadi asam garam kebanyakkan anak kampung.
“Memang mencabar bermain bola tanpa memakai kasut dan terdedah dengan kecederaan namun ia sangat menyeronokkan,” katanya.
Pada kejohanan itu, Sayuti Mohammad,47, dinobatkan sebagai pemain veteran terbaik, manakala Anuar Ismail, 34, penjaring terbanyak dengan jumlah enam gol.