Pengurusan Keselamatan UIAM menang bergaya
Kuantan: Pasukan Pejabat Pengurusan Keselamatan seperti diramal muncul juara kategori berpasukan Pertandingan Bowling Program Ukhuwah Pejabat Pengarah Kampus Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Kuantan di Sports Centre, di sini, baru-baru ini.
Pertandingan pembuka tirai tahun ini dianjurkan Bahagian Jabatan Pembangunan Sukan UIAM Kampus Kuantan membabitkan penyertaan 14 pasukan yang mewakili jabatan di pusat pengajian tinggi berkenaan.
Ketua pasukan Pejabat Pengurusan Keselamatan Azrivishen Abdul Aziz berkata, pengalaman pemain menjadi kelebihan kepada pasukannya dinobatkan sebagai juara musim pertama pertandingan kali ini.
Katanya, pemain menjalani latihan secara berterusan dalam usaha untuk memberi persembahan terbaik dan berkualiti seterusnya mampu menjulang kejuaraan walaupun mendapat tentangan sengit lawan.
Menurutnya, gandingan mantap pemain Arman Abdul Wahab, Hasmida Che Abdullah dan Murimazni Hassan memberi hasil membanggakan apabila mampu melakukan balingan yang baik sepanjang permainan.
“Saya berpuas hati dengan semangat serta kesungguhan yang ditunjukkan pemain sepanjang pertandingan, banyak balingan sempurna dilakukan mereka walaupun sebelum ini agak sukar untuk dilakukan.
“Kejayaan yang dilakar menjadi pembakar semangat kepada pemain untuk mengulanginya pada pertandingan akan datang yang dijangka lebih mencabar dan sengit,” katanya.
Dalam kategori individu johan berpihak kepada Mohd Ariffin Ghazali, naib johan Abdul Ghani Abd Rahman, ketiga Termizi Ahmad dan keempat Mohd Danial Jamaluddin.
Pemenang setiap kategori menerima hadiah wang tunai dan barangan elektrik yang disampaikan Pengarah (Pentadbiran) UIAM Kampus Kuantan, Azmi Ismail.
Jurucakap penganjur Muhamad Ariffzulfitri Abu Kasim berkata, pertandingan yang diadakan antara lain bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan dikalangan kakitangan Pejabat Pengarah Kampus UIAM Kampus Kuantan.
Selain itu, katanya, ia juga menjadi aktiviti riadah yang dapat mencungkil bakat dalam kalangan pemain seterusnya membuka peluang untuk mewakili UIAM Kampus Kuantan di peringkat universiti kebangsaan.