Harian Metro

Jangan malu berniaga tepi jalan

- Harun Yahya cnews@nstp.com.my

‘Jangan malu berniaga di tepi jalan walaupun ada kelulusan tinggi.’ Itu prinsip dipegang Ikon

Metro minggu ini, Azwan Ariff Mohd Azman Hii, yang perlu diterapkan dalam kalangan anak muda.

Katanya, dia mula berniaga ketika berusia 15 tahun sehinggala­h menuntut di peringkat sarjana di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

“Pada usia 15 tahun, saya menjual sate di depan rumah. Semua proses memotong, membuat perapan dan memanggang saya lakukan sendiri.

“Kini, di usia 26 tahun, saya berniaga ayam goreng dan kopi susu di hadapan sebuah bank di Saratok,” katanya.

Azwan berkata, belia tidak seharusnya menunggu kerja kerana mereka boleh melakukan perniagaan kecil-kecilan untuk menampung perbelanja­an sendiri, begitu juga menyara keluarga.

Katanya, untuk berniaga, disiplin yang tinggi perlu bagi memastikan perniagaan memberikan hasil yang baik.

“Disiplin dari segi konsistens­i kita dalam berniaga...kita perlu konsisten dalam masa kedai dibuka. Cuti hanya pada hari yang ditetapkan dan jika berlaku perkara yang tidak dapat dielak.

“Bagi saya, semakin kuat kita bekerja maka semakin banyak hasil yang kita peroleh,” katanya.

Menyimpan impian mahu memiliki perniagaan yang kukuh sebelum usia 30 tahun, Azwan juga mencuri perhatian netizen di Malaysia barubaru ini apabila kisahnya yang mengumpul wang RM1 sehingga mencecah RM10,000 tular di media sosial.

Lebih menarik, wang simpanan berkenaan terus disimpan ke akaun Tabung Haji dengan niat menyempurn­akan impiannya menunaikan haji suatu hari nanti.

“Saya tidak malu berniaga walaupun sedang belajar di peringkat sarjana. Alhamdulil­lah, mentaliti masyarakat juga berubah kerana saya sekali pun tidak pernah menerima sindiran, kata sinis atau diperli orang sekeliling.

“Biarpun saya seorang graduan, tidak pernah saya rasa malu berniaga di tepi jalan. Mengapa kita perlu berasa malu kerana ini adalah pekerjaan halal,” katanya.

 ?? FOTO ??
FOTO

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia