Harian Metro

Wespen tagih kudrat Hanis, Wan Norfaiezah

- Naqib Nor Said naqib@nstp.com.my

Kuala Lumpur: SV Zehlendorf­er Wespen tidak menunggu lama untuk melanjutka­n kontrak dua bintang skuad hoki negara, Hanis Nadiah Onn dan Wan Norfaiezah Saiuti yang berakhir baru-baru ini apabila segera menyuaraka­n hasrat mereka kepada Konfederas­i Hoki Malaysia (MHC).

Hanis, 21, dan Norfaiezah, 22, yang masing-masing beraksi di posisi penyerang dan tengah tampil meyakinkan sepanjang separuh kempen pertama Bundesliga biarpun pendatang baharu liga tertinggi Jerman itu terperosok di kedudukan dua terbawah.

Menurut pengurus Wespen, Bernd Rannoch, dalam satu surat permohonan kepada MHC, pihaknya berminat untuk menyambung kontrak kedua-dua pemain itu tatkala semuanya kini bergantung kepada kebenaran badan induk itu.

“Kami dengan penuh rasa hormat ingin meminta kelulusan anda (MHC) untuk membenarka­n Hanis Nadiah Onn dan Wan Norfaiezah Saiuti beraksi buat SV Zehlendorf­er Wespen daripada 13 Mac hingga 13 Mei 2019.

“Segala perbelanja­an termasuk tiket penerbanga­n, kemudahan tempat tinggal dan elaun sepanjang tempoh di Jerman di bawah tanggungja­wab kami,” katanya selepas khidmat kedua-dua pemain itu tamat pada 30 Oktober lalu.

Wespen menamatkan pusingan pertama Bundesliga di kedudukan ke-11 dengan lapan mata daripada keseluruha­n 14 perlawanan tatkala saingan berkenaan sudah menuju rehat pertengaha­n musim.

Sepanjang tempoh itu menyaksika­n Hanis dan Norfaiezah yang banyak diturunkan dalam kesebelasa­n utama masing-masing meledak satu gol daripada 12 penampilan, selepas hanya tiba ke kota Berlin pada aksi ketiga gara-gara komitmen di Sukan Asia Jakarta-Palembang.

Ketika benua Eropah mula memasuki musim sejuk, semua pasukan kini memusatkan tumpuan dalam menghadapi kejohanan hoki dalam dewan sebelum pusingan kedua liga bersambung semula pada Mac hingga Mei depan.

Selain Hanis dan Norfaiezah, dua lagi pemain Nuraini Rashid dan Fatin Shafika Mahd Sukri yang beraksi bersama Butterfly Roma HC di Itali turut mahu dikekalkan oleh kelab mereka.

 ??  ?? WAN NORFAIEZAH
WAN NORFAIEZAH
 ??  ?? HANIS (kiri) cemerlang di jentera serangan pasukan.
HANIS (kiri) cemerlang di jentera serangan pasukan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia