HAMILTON LETIH KEJAR VERSTAPPEN
Pelumba dari Belanda pamer aksi mantap, Hamilton masih belum jumpa rentak
Max Verstappen melaungkan amaran kepada pencabar utama gelaran Formula Satu, Lewis Hamilton dan Sebastian Vettel apabila mendominasi sesi latihan Grand Prix Mexico sebelum Red Bull berdepan masalah hidraulik.
Pemenang tahun lalu itu dilihat sebagai taruhan terbaik untuk muncul pemandu termuda bermula di petak utama pada sesi kelayakan selepas pemandu berusia 21 tahun dari Belanda berkenaan mempamerkan aksi mantap di litar altitud tinggi terbabit.
“Kami mempunyai kereta, kestabilan yang baik, cengkaman mekanikal yang mantap,” kata pelumba muda yang kelihatan tidak peduli dengan masalah dialaminya 10 minit sebelum sesi kedua berakhir.
Pendahulu yang juga penyandang juara dunia dari Mercedes, Hamilton, masih mencari rentak menandingi kelajuan Verstappen dalam usaha meraih kejuaraan kelima dengan berbaki dua perlumbaan.
Manakala Vettel dari Ferrari kini 70 mata ketinggalan di belakang pemandu Britain itu, perlu menang untuk menghidupkan kembali usahanya menafikan peluang Hamilton bergelar juara dunia.
Verstappen mendahului rakan pasukan dari Australia, Daniel Ricciardo ketika sesi latihan yang menyaksikan Red Bull menguasai kedudukan satu-dua apabila merekod catatan terpantas sepusingan 1:16.656s pada sesi pagi dan 1:16.720s pada sesi petang.
Ricciardo 0.483s lebih perlahan pada sesi pertama dan 0.153s pada sesi kedua.
Renault yang juga pembekal enjin Red Bull adalah yang terbaik pada kedua-dua sesi itu apabila pelumba Sepanyol, Carlos Sainz menduduki tempat ketiga terpantas kedua-dua sesi.
Litar dibina pada paras 2,200 meter dari paras laut menyaksikan Mercedes dan Ferrari kurang berkuasa berbanding perlumbaan sebelum ini.
“Enjin bergelut dengan keadaan cuaca, brek dan cuaca sejuk. Kami menggunakan sayap yang sama di Monaco dan kestabilan yang sama (kelajuan tinggi) di Monza,” kata prinsipal Red Bull, Christian
Horner.
FAKTA Tetap catat masa terbaik biarpun alami masalah teknikal saat akhir