Separuh penduduk Yaman di ambang kebuluran
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, New York: Krisis kemanusiaan di Yaman semakin buruk dengan perangkaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menunjukkan kira-kira 14 juta penduduk negara itu kini diancam kebuluran, selain wabak penyakit.
Kelmarin, Setiausaha Rendah Hal Ehwal Kemanusiaan dan Penyelaras Bantuan Kecemasan PBB, Mark Lowcock berkata, agensi bantuan kini semakin tewas menentang kekurangan makanan di Yaman.
Reuters melaporkan, beliau sudah dua kali memberi amaran masalah itu pada 2017, namun tindakan Arab Saudi dan sekutunya menyekat laluan perdagangan Yaman serta kekurangan bantuan menjadikan keadaan lebih buruk.
“Keadaan yang saya beritahu hari ini lebih buruk berbanding dua keadaan sebelum ini,” katanya.
Menurutnya, penduduk Yaman bergantung kepada bantuan kemanusiaan semata-mata untuk mendapatkan makanan dan jumlah 14 juta di ambang kebuluran itu adalah separuh jumlah penduduk negara berkenaan.
Jumlah penerima bantuan PBB dan agensi bantuan lain ialah lapan juta orang setiap bulan, menjadikannya operasi bantuan kemanusiaan terbesar di dunia dengan kos AS$3 bilion (RM12.5 bilion) setahun.
PBB menerima sumbangan AS3$2 bilion (RM8.3 bilion) untuk tujuan itu.
Menurut Lowcock melalui lawan web PBB, selepas empat tahun perang, penduduk Yaman yang kekurangan zat dan kemudahan perubatan kini terdedah kepada penyakit, terutama taun.
Beliau berkata, sukar untuk menentukan jumlah tepat mereka yang mati kelaparan, namun pekerjanya merekodkan peningkatan kematian berkaitan faktor makanan, termasuk kekurangan zat dan penyakit.
Pada hujung tahun lalu, satu agensi bantuan menganggarkan 130 kanak-kanak mati setiap hari akibat kelaparan dan penyakit, hampir 50,000 orang setahun.
Menurut Lowcock, banyak kematian tidak diketahui berikutan banyak kemudahan perubatan tidak berfungsi.
“Ramai mati di rumah atau jalanan dan keluarga tidak melaporkannya,” katanya. Agensi