Bantulah dulu negara kita...
Pekerja mahir Malaysia diseru bersama bantu kembali kedudukan Harimau Asia
Rakyat Malaysia yang mencipta kejayaan di luar negara diharap dapat membantu menyumbang ke arah pembinaan Malaysia Baharu.
Perkara itu dinyatakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika berucap pada majlis makan malam bersama-sama diaspora Malaysia di Vietnam di sini, kelmarin.
Beliau berkata, firma pengurusan pelaburan global, Schroders dalam laporannya bagi Jun menyatakan antara masalah terus melanda ekonomi Malaysia sejak beberapa dekad lalu kerana penghijrahan cerdik pandai.
Kata beliau, penghijrahan rakyat Malaysia yang berkemahiran tinggi menyebabkan negara itu kehilangan modal insan terbaiknya, sekali gus menjejaskan pertumbuhan ekonomi serta mengurangkan hasil cukai di samping menambah bebanan di bahu mereka yang terus kekal di Malaysia.
Dr Wan Azizah berkata, menurut laporan berita, seorang daripada setiap 10 pekerja mahir Malaysia merancang meninggalkan Malaysia bagi mencari kehidupan lebih baik dan bersaing di arena antarabangsa.
Dr Wan Azizah berkata, kerajaan baharu Malaysia berwawasan mengembalikan kedudukan negara itu sebagai ‘Harimau Asia’ dalam ekonomi.
Bagaimanapun, kata beliau, cita-cita itu memerlukan usaha keras, terutama dalam mengurangkan hutang negara.
“Negara yang mampu berdikari adalah sebuah negara merdeka, negara bebas daripada dibelenggu hutang dengan sesiapa.
“Kita mahu membina sebuah negara yang masyarakatnya tidak perlu bergantung pada pemberian orang lain,” katanya.
Dr Wan Azizah dalam rangka lawatan rasmi tiga hari ke Vietnam bermula kelmarin dan dijadual mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Vietnam Nguyen Xuan Phuc.