JANJI MANCINI
Rome
Pengendali Itali, Roberto Mancini memohon peminat pasukan itu supaya bersabar dengannya dan skuad kebangsaan negara itu dalam usahanya mengembalikan semula era kegemilangan Azzurri.
Itali mengakhiri deretan kemarau tanpa kemenangan dalam lima perlawanan semalam dengan menewaskan Poland 1-0 dalam kempen Liga Negara-Negara Eropah namun Mancini menegaskan beliau tidak boleh menyelamatkan pasukan itu seperti ahli silap mata.
Pengendali Itali harap peminat tak putus asa usahanya untuk kembalikan kegemilangan Azzurri
>>Itali akhiri deretan kemarau tanpa kemenangan dalam lima perlawanan
Kemenangan ke atas Poland itu mengembalikan peluang
Itali untuk mencabar saingan berkenaan dengan gol tunggal perlawanan dijaringkan Cristiano Biraghi disebalik penguasaan yang ditampilkan pelawat.
Mancini mengakui kagum dengan persembahan yang ditampilkan pasukannya dan layak mengutip tiga mata penuh tetapi merasai peminat tidak perlu merasa terlalu teruja memandangkan kali terakhir mereka mencatat kemenangan di tempat lawan adalah ketika bertemu Albania, setahun lalu.
“Semua pemain memberikan yang terbaik. Kami tahu ia akan mengambil masa, tetapi kemenangan ini diraih dengan cemerlang,” kata Mancini.
“Masih banyak yang boleh kami perbaiki, tetapi kami perlu bersabar. Ini adalah bola sepak.
“Anda secara tiba-tiba memperoleh gol yang tepat di penghujung perlawanan, gol yang anda layak dapat, tetapi perlawanan juga boleh berakhir seri, seperti yang berlaku sebelum ini.
“Era baharu sudah pun bermula, tetapi tiada perkara seperti silap mata.”
Kekalahan kepada Poland boleh mengakibatkan Itali tersingkir daripada saingan Kumpulan A3 Liga Negara-Negara dengan juara Eropah, Portugal berada di puncak.
Skuad kendalian Mancini akan bertemu Portugal pada perlawanan berikutnya sebelum menoktahkan musim 2018 dengan perlawanan persahabatan bertemu Amerika Syarikat.