Ratapan isteri
Lelaki maut motosikal berlanggar dengan lori
Suasana hiba menyelubungi lokasi kemalangan di Kilometer 13, Jalan Kuching-Bau berhampiran Tanjung Durian di sini, semalam, apabila seorang wanita dilihat meratapi kematian suaminya.
Difahamkan, kemalangan jam 9.15 pagi itu menyebabkan mangsa, Zaidi Rosli, 55, disahkan maut di lokasi, kejadian selepas motosikalnya berlanggar dengan lori.
Isteri mangsa berusia lingkungan 40-an yang dimaklumkan mengenai kejadian bergegas ke lokasi, namun hanya dapat melihat suaminya sudah kaku berlumuran darah.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, siasatan awal mendapati Yamaha LC 135 yang ditunggangi mangsa dalam perjalanan dari Bau ke Kuching.
Katanya, sebaik tiba di lokasi, mangsa dikatakan mahu memotong sebuah lori di depannya namun gagal kerana ada kenderaan lain dari arah bertentangan.
“Mangsa kemudian cuba masuk semula ke laluan asal namun terlanggar tayar belakang lori dari arah sama. Impak perlanggaran itu menyebabkan mangsa maut kerana parah di kepala dan badan.
“Pemandu lori berusia 48 tahun yang terdengar bunyi kuat apabila tayar belakangnya pecah memberhentikan kenderaannya untuk pemeriksaan lanjut sebelum melihat mangsa terbaring berlumuran darah di tengah laluan,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, pasukan perubatan dari Hospital Bau yang dipanggil ke lokasi kejadian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia dan mayat dihantar ke hospital sama untuk bedah siasat.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan saksi kejadian diminta tampil membantu siasatan.