Kes rogol Raymond palsu
Polis mengesahkan dakwaan berhubung kes rogol membabitkan Ketua Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, Raymond Ahuar yang disebarkan melalui media sosial sejak minggu lalu adalah tidak benar.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata, pihaknya ada menerima laporan polis yang dibuat dua mangsa dalam kes itu di Keningau pada 24 September lalu, namun suspek adalah individu lain.
“Memang benar dalam siasatan kami ada dua perempuan membuat laporan polis menyatakan dirogol seorang lelaki, bagaimanapun siasatan mendapati suspek bukan Ketua Pemuda PKR.
“Suspek sebenar ditangkap sehari selepas laporan dibuat dan dia mengakui merogol mangsa. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol,” katanya ketika ditemui media selepas mesyuarat Majlis Keselamatan Negeri Sabah di sini, semalam.
Dakwaan kes rogol membabitkan Raymond, 33, yang juga Setiausaha Politik Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Christina Liew adalah berdasarkan video berdurasi satu minit yang dimuat naik dalam media sosial menuduh kononnya dia terbabit dalam kes itu.
Sehubungan itu, Omar mengingatkan semua pihak supaya menghentikan penyebaran video dan laporan berkenaan kerana ia berunsur fitnah, selain hanya tohmahan semata-mata.
Beliau berkata, polis juga akan menyiasat laporan dibuat Raymond minggu lalu berhubung tohmahan terhadapnya mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan, termasuk mengesan individu yang menyebarkan video terbabit.
Katanya, suspek sebenar dalam kes rogol berkenaan ialah seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun, manakala mangsa adalah dua wanita warga asing tanpa dokumen pengenalan diri berusia 36 dan 23 tahun.