Kepayahan mula terasa
Penduduk jangka alami kesukaran pada hari kedua gangguan air
Hari pertama gangguan bekalan air semalam belum menjejaskan rutin harian penduduk di sekitar Bandar Bukit Puchong.
Ia berikutan tangki di atas bumbung rumah masing-masing masih mampu menampung jumlah penggunaan untuk sehari.
Tinjauan NSTP mendapati walaupun kebanyakan perumahan tiada air, penduduk masih mampu melakukan aktiviti seperti biasa.
Penduduk, Nik Adnan Nik Man, 40, berkata, setiap kali berlaku gangguan air pada hari pertama biasanya air masih cukup untuk digunakan.
“Tangki di atas rumah masih cukup untuk digunakan pada hari pertama. Biasanya keadaan mulai sukar pada hari kedua, jika bernasib baik air daripada tangki masih boleh digunakan dan jika sebaliknya terpaksa mendapatkan bekalan daripada Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS).
“Mujur SYABAS sentiasa menepati waktu menghantar air di kawasan ini, jadi tiada masalah untuk saya,” katanya.
Masalah gangguan bekalan air SYABAS bermula semalam sehingga Jumaat. Gangguan berlaku akibat kerja penggantian perkakasan di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih.
SYABAS juga menjangkakan tempoh pemulihan bekalan air selepas pengoperasian semula loji kepada pelanggan berbeza-beza mengikut kawasan.
Imam Masjid Bandar Bukit Puchong, Ahmad Zaidee Abu hassim, 47, berkata, setiap kali berlaku gangguan bekalan air, mereka diberi notis dan pihaknya akan memohon sekurang-kurangnya dua tangki statik untuk diletakkan di masjid berkenaan.
“Apabila mendapat notis awal mengenai gangguan air, kami mempersiapkan dua tangki besar untuk kegunaan semua terutama untuk berwuduk, mandi dan kegunaan asas. Tetapi, ada segelintir peniaga bersikap degil datang menadah air berbaldi-baldi untuk urusan perniagaan mereka.
“Bagi saya tidak bagus begitu kerana saya sendiri mempersiapkan semua itu untuk keperluan orang ramai tetapi apabila ada yang berlebihan menggunakan bekalan itu, ia menyusahkan orang lain,” katanya.
Ahmad Zaidee gembira atas sikap prihatin SYABAS yang sentiasa memantau tangki berkenaan supaya sentiasa ada air.
“Mujur SYABAS sentiasa pantau kalau tidak susah juga untuk orang ramai datang menunaikan solat di sini.
“Biasanya untuk hari pertama bekalan masih cukup tetapi pada hari kedua dan seterusnya keadaan mula tidak terkawal apabila orang ramai mula datang memenuhi masjid untuk mendapatkan bekalan air,” katanya.
Sementara itu, peniaga makanan, Suhaila Jaafar, 36, berkata, gangguan air turut merugikan dirinya yang terpaksa tutup kedai.
“Biasanya dalam sehari saya boleh dapat sehingga RM1,000 dan apabila tutup kedai sampai tiga hari memang rasa rugi dan terpaksa duduk di rumah saja,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor, Abdul Raof Ahmad ketika dihubungi berkata, setakat semalam operasi Pusat Khidmat Setempat (PKS) berjalan dengan lancar.
“Sebanyak 62 lori tangki air dan 10 lori tangki jumbo digerakkan di semua lapan kawasan PKS yang disediakan SYABAS.
“Kami berharap orang ramai yang ingin mendapatkan bekalan air boleh datang ke PKS berdekatan yang disediakan dan sebarang aduan juga boleh dibuat di situ,” katanya.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat terkini SYABAS boleh melayari laman sesawang di www.syabas.com.my, Facebook ‘Air Selangor’, Twitter @air_selangor dan aplikasi telefon pintar Air Selangor, yang boleh dimuat turun di Google Play dan App Store.