Cadang perkenal cukai baru
Pertimbang lepas aset untuk atasi krisis hutang
Kerajaan bercadang untuk memperkenalkan cukai baru bagi menjana hasil negara dalam usaha membayar hutang negara yang tinggi.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan juga mempertimbangkan melepaskan aset negara seperti tanah bagi mengurangkan beban untuk membayar hutang yang ditinggalkan kerajaan terdahulu.
“Ia cukai yang berbeza, tetapi akan mengurangkan beban rakyat. Inilah tujuannya...untuk bayar hutang kerajaan,” katanya ketika ditemui media selepas menyampaikan ucaptama sempena Forum Malaysia Dalam Era Baharu anjuran RHB, Maybank dan CIMB di sini, semalam.
Ketika berucap pada forum berkenaan, Dr Mahahathir berkata, kerajaaan perlu melepaskan aset baru bagi mendapatkan dana untuk menyelesaikan krisis hutang negara.
“Dalam situasi yang sebenar, duit digunakan untuk melabur dan mendapatkan dividen dan kita tahu duit itu dilaburkan di mana. Jika kita tahu duit itu di mana dilaburkan, sekarang kita tidak tahu di mana wang itu berada. Sebab itu kita kena cari sumber lain.
“Ada cadangan supaya kerajaan melepaskan aset seperti tanah dan menjualnya kepada pelabur tempatan.
“Hasil daripada pembangunan itu, ia akan disalurkan kembali kepada kerajaan,” katanya.
Beliau turut yakin Malaysia mampu bangkit kembali daripada krisis kewangan ketika ini yang hampir sama pernah dihadapi negara pada tahun 1997/1998.
“Krisis 1997/98 kita cari solusi sendiri dan sekarang situasi agak sama. Bila mata wang rendah, ekonomi juga perlahan. Masalah ketika ini ialah kita perlu cari duit untuk bayar hutang yang besar oleh kerajaan sebelum ini.
“Kita yakin kita mampu atasi krisis ini ekrana kita sudah tempuhi dan berjaya tangani masalah itu sebelum ini,” katanya.
Dalam pada itu, Dr Mahathir mahu forum yang diadakan pada hari ini mampu menyumbang idea kepada pembentukan dasar kerajaan dan Malaysia kembali menjadi Harimau Asia yang digeruni di rantau ini.
“Dalam lawatan saya ke Amerika Syarikat dan United Kingdom sebelum ini, kita berjaya menarik minat pelabur di sana untuk datang ke Malaysia.
“Saya pasti masa itu akan tiba dan ia akan meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara dan merapatkan jurang hutang negara,” katanya.
Beliau turut menzahirkan rasa kecewa terhadap pentadbiran kerajaan sebelum ini.
“Saya kecewa terhadap pentadbiran pengurusan kewangan kerajaan terdahulu dan kerja yang perlu dilakukan untuk selesaikan masalah yang ditinggalkan,” katanya.