Dituduh aniaya anak saudara
Lelaki tidak mengaku masukkan budak dalam mesin basuh pusat dobi
Lelaki yang videonya tular kerana memasukkan anak saudaranya ke dalam mesin basuh di sebuah dobi layan diri di Bukit Sentosa didakwa di Mahkamah Majistret di sini, semalam, atas pertuduhan melakukan perbuatan itu, minggu lalu.
Bagaimanapun, tertuduh, Muhammad Irwan Abdul Jalil, 27, yang juga penganggur mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azmil Muntapha Abas yang bertindak sebagai Majistret.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memasukkan Shah Raiqal Shahril Sharizal yang berusia tiga tahun ke dalam mesin basuh di mana perbuatan itu dilakukan secara tergopoh-gopoh hingga membahayakan keselamatan kanak-kanak itu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kedai Dobi Laundrybar, No 11&11-1 Jalan Orkid 1G/2 Sek BS1, Bandar Bukit Sentosa, Hulu Selangor jam 12.30 tengah malam, 2 Oktober lalu.
Dakwaan kes dikemukakan mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda maksimum RM500 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Terdahulu,
Timbalan Pendakwa Raya Khairul Azhwa Yusrie Mohamad menawarkan jaminan RM4,000 dengan penjamin.
Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam tidak membuat sebarang rayuan berikutan tiada penjamin yang hadir.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 9 November depan untuk sebutan semula kes.
Sebelum ini, media melaporkan gurauan melampau bapa saudara menyebabkan kanak-kanak terbabit terperangkap hampir 10 minit dalam mesin basuh di sebuah dobi layan diri.