Harian Metro

‘Ayah dah balik Malaysia’

Zakaria terlantar sakit di Australia ketika mahu hadiri konvo anak kembali ke tanah air

- Siti A’isyah Sukaimi sitiaisyah@nstp.com.my

“Alhamdulil­lah, suami saya selamat tiba ke tanah air. Terima kasih kepada rakyat Malaysia yang begitu prihatin dan banyak membantu,” kata Normahani Alli, 45.

Menurutnya, anak sulungnya, Farhan, 22, memaklumka­n kepadanya kelmarin suaminya, Zakaria Darus, 50, dapat pulang ke tanah air.

“Saya tanya anak ‘ayah macam mana?’ dan abang (panggilan kepada Farhan) memaklumka­n suami saya perlu makan makanan yang sudah dikisar (supaya lembut). “Kemudian, abang beritahu yang mereka akan pulang hari ini (semalam) dan saya terkejut juga, namun lega dan bersyukur akhirnya suami pulang ke sini,” katanya ditemui di Lapangan Terbang Antarabang­sa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, semalam.

Sebelum ini Zakaria yang mahu menghadiri majlis konvokesye­n Farhan di Universiti Queensland, Brisbane, Australia bersama isteri dimasukkan ke Royal Brisbane and Women’s Hospital.

Zakaria dari Taman Seroja, Sungai Layar, Sungai Petani, Kedah dimasukkan ke hospital berkenaan akibat serangan angin ahmar selain dilaporkan turut menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi.

Dalam pada itu, Normahani berkata, sejak kisah suaminya dilaporkan media, banyak pihak yang datang membantu termasuk menghulurk­an bantuan kewangan untuk membayar kos hospital di negara itu.

“Pada mulanya rakan anak saya memuat naik kisah suami di media sosial Facebook seterusnya ia dilaporkan di akhbar.

“Memang ramai pihak datang membantu dan kami sekeluarga mewakili suami mengucapka­n berbanyak terima kasih atas sumbangan diberikan rakyat Malaysia.

“Rakyat Malaysia memang begitu prihatin malah Ahli Parlimen Merbok, Nurin Aina Abdullah turut membantu menguruska­n ambulans dari KLIA ke Hospital Kuala Lumpur (HKL),” katanya.

Terdahulu, Zakaria tiba di tanah air jam 5.26 pagi semalam dengan pesawat Malaysia Airlines MH134 dari Brisbane.

Dia dilihat keluar dari balai ketibaan KLIA jam 6.30 pagi menggunaka­n kerusi roda seterusnya ke pengusung beroda dan dibawa masuk ke ambulans sebelum terus bertolak ke HKL untuk rawatan susulan.

Memang ramai pihak datang membantu dan kami sekeluarga mewakili suami mengucapka­n berbanyak terima kasih atas sumbangan diberikan rakyat Malaysia”

Normahani Alli

 ?? FOTO: MOHD FADLI HAMZAH ?? ZAKARIA dibantu pasukan perubatan ketika tiba di KLIA, semalam.
FOTO: MOHD FADLI HAMZAH ZAKARIA dibantu pasukan perubatan ketika tiba di KLIA, semalam.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia