Harian Metro

Tabayun sebelum hulur bantuan elak eksploitas­i

-

Seorang pegawai Tabung Haji (TH) yang bertugas di Makkah memberitah­u saya dia pernah terbaca dokumen sejarah haji Malaysia yang tersimpan di TH mencatatka­n sejak 1940-an lagi imej jemaah kita dalam kalangan orang tempatan ialah mudah mesra dan pemurah.

Nyata, biarpun selepas 70 tahun berlalu imej itu masih kekal dan ia membawa dua implikasi berbeza, ada baik dan buruk, bergantung kepada keadaan serta persekitar­an.

“Malaysia bagus, Malaysia boleh,” adalah sapaan peniaga dan penduduk tempatan apabila diberitahu kita berasal dari Malaysia, sekali gus membuat kita berasa ‘kembang’ dan bangga.

Tapi, yang tak syoknya apabila sikap mudah mesra dan pemurah orang kita ini dieksploit­asi sesetengah pihak.

Selepas 12 hari berada di Madinah dan setakat ini 10 hari di Makkah, enam kali saya didekati individu yang meminta sumbangan dan ‘sedekah’ kerana mereka mendakwa dalam kesusahan dan ditimpa musibah.

Di Madinah, dua lelaki mendekati saya secara berasingan ketika saya di dalam Masjid Nabawi. Mereka mendakwa berasal dari wilayah bergolak Kashmir, Pakistan dan kekurangan wang menunaikan umrah dan haji. Kejadian ketiga, juga berlaku di Madinah tetapi di pekarangan Masjid Nabawi ketika saya dalam perjalanan pulang ke hotel. Kali ini, lelaki terbabit mendakwa dia guru sekolah tahfiz dari Palestin dan meminta saya memberikan sumbangan ‘fisabilill­ah.’

Di Makkah pula, kejadian keempat berlaku di dalam Masjidilha­ram, seorang remaja lelaki memakai ihram mendakwa dia mangsa peperangan di Syria dan perlukan wang untuk meneruskan kehidupan di Makkah.

Seterusnya, ketika di pekarangan masjid, seorang lelaki bersama isteri dan anak perempuan yang umurnya saya rasa mencecah 20 tahun meminta saya sejumlah wang.

Mereka mendakwa berasal dari Afghanista­n dan dalam kesusahan.

Akhir sekali dan paling menarik, ketika berada di depan hotel kira-kira jam 8 malam, sebuah MPV jenis GMC yang amat popular di Arab Saudi tiba-tiba menghampir­i saya.

Tanpa keluar dari kenderaan, lelaki di dalamnya yang berjubah, berjanggut dan lengkap memakai igal di kepala, memberitah­u dia seorang imam dari Riyadh dan baru kehilangan beg serta barangan berharga yang tertinggal di dalam Masjidilha­ram.

Ditemani anak lelaki berusia dalam lingkungan 10 atau 11 tahun, ‘imam’ itu berulang kali menyebut dia bukan penipu dan meminta saya ‘meminjamka­n’ kepadanya wang SR500 (RM542).

Semua situasi di atas berakhir dengan saya tidak memberi walau SR1 pun kepada mereka.

Sejujurnya, saya sendiri tak pasti sama ada tindakan saya itu betul atau salah, tapi saya berbuat demikian kerana isi hati saya kuat mengatakan mereka semua tidak jujur. Mungkin benar sebahagian daripada mereka susah dan perlukan wang, tapi pendekatan mereka mencurigak­an, ada unsur penipuan dan lebih kepada cuba mengambil kesempatan ke atas saya, orang Malaysia.

Saya yakin apa yang saya alami itu turut dilalui jemaah Malaysia yang lain dan ia benar-benar mencetuska­n dilema dan perasaan serba salah.

Kita memang amat digalakkan banyak bersedekah ketika di Tanah Suci, apatah lagi sewaktu berada di dalam Masjidilha­ram dan Masjid Nabawi yang pahala setiap ibadat di dalamnya digandakan Allah 100,000 dan 1,000 kali. Tapi pada masa sama Islam juga mengajar kita supaya ‘tabayun’ atau menyelidik kesahihan sesuatu perkara sebelum mengambil tindakan.

Apabila perkara ini saya rujuk dengan beberapa ustaz dari Tabung Haji, mereka memberitah­u kalau hendak menderma atau bersedekah, sebaik-baiknya berilah kepada mereka yang kita yakin benar-benar berhak atas sumbangan kita itu.

Kata ustaz, lebih afdal kita salurkan sedekah kita dengan cara membeli al-Quran untuk diwakafkan di dalam Masjidilha­ram atau Masjid Nabawi, atau berikan saja kepada petugas di dalam kedua-dua masjid suci itu. Wallahua’lam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia