SELUDUP ARAK
Cubaan bot pancung menyusup tumpas
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menumpaskan cubaan menyeludup lebih 100 botol arak pelbagai jenama di perairan FELDA Sahabat di sini, kelmarin.
Timbalan Pengarah (Operasi) Pangkalan Maritim Lahad Datu Leftenan Maritim Muhammad Zarif Mat Yunus berkata, bot peronda Maritim Malaysia menahan bot pancung yang membawa barangan seludup itu jam 10 malam selepas dipercayai cuba masuk ke daerah ini dari negara jiran.
Menurutnya, bot peronda Maritim Malaysia mengesan bot pancung terbabit dalam keadaan mencurigakan berhampiran kawasan perairan itu yang cuba menyusup ke Kampung Pangkalan.
“Bot pancung itu meluncur ke arah pesisir pantai sebelum tekong terjun ke laut meninggalkannya sebaik menyedari kehadiran peronda Maritim Malaysia.
“Hasil pemeriksaan terhadap bot pancung itu menemui 109 botol arak pelbagai jenama dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan RM4,000,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Muhammad Zarif berkata, semua barang rampasan itu dibawa ke Pos Maritim Malaysia FELDA Sahabat untuk siasatan mengikut Akta Kastam 1967.
“Maritim Malaysia terus menjalankan tugas penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti yang menyalahi undang-undang di perairan Lahad Datu.
“Sebarang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi talian 089-885727 pusat operasi kami di Lahad Datu atau di talian MERS 999 untuk sebarang kejadian kecemasan,” katanya.