Anggota ATM patah usaha seludup arak
Serian: Cubaan seorang lelaki Indonesia menyeludup arak ke negaranya melalui ‚jalan tikus‘ di sebuah ladang sawit di Tong Nibong, di sini, dipatahkan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), kelmarin.
Suspek berusia lingkungan 20-an itu ditahan sepasukan anggota dari Batalion Ke-13 Rejimen Askar Melayu Diraja (13RAMD) ketika rondaan di kawasan sempadan kirakira jam 8 pagi.
Jurucakap Divisyen Pertama Infantri Malaysia memaklumkan bahawa pasukan berkenaan yang menjalankan rondaan menerusi Ops Serkap terserempak dengan seorang lelaki menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut terhadapnya kemudian menyerlahkan sebuah kotak diikat di belakang motosikal yang ditunggang suspek berkenaan.
“Anggota tentera kemudiannya menemui 24 botol minuman keras yang tidak dibayar cukai disimpan di dalam kotak berkenaan.
“Jumlah rampasan dianggarkan bernilai RM800 dipercayai mahu diseludup keluar dari negara ini tanpa membayar cukai,“katanya dalam kenyataannya di sini, semalam.
Jurucakap itu berkata, pasukan berkenaan juga merampas motosikal Honda Repo yang tidak memiliki dokumen dan nombor pendaftaran.
Katanya, suspek bersama rampasan kemudiannya dibawa ke Balai Polis Serian untuk siasatan lanjut.
“Operasi di sempadan negara terus dipertingkatkan untuk memastikan tiada cubaan menjalankan penyeludupan berlaku,“katanya.