DANA RM180J LULUS
Kerajaan Sarawak meluluskan peruntukan sebanyak RM180 juta bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan membabitkan infrastruktur rakyat di daerah ini.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Abang Ope“ng berkata, daripada jumlah itu sebanyak RM90 juta akan digunakan untuk projek pembinaan jalan raya sepanjang kira-kira 20 kilometer dari Kampung Kupang ke Simpang Bajau, manakala selebihnya bagi membiayai pembinaan Jambatan Sungai Krian.
Menurutnya, pelaksanaan kedua-dua projek itu itu dijangka bermula penghujung tahun ini lepas tender projek dibuka tidak lama lagi.
“Usaha bersepadu ini dilaksanakan bagi manfaat besar penduduk di kawasan ini bagi tempoh jangka panjang, malah kita sendiri nampak potensi besar kawasan ini untuk dibangunkan bagi sektor pertanian moden.
“Inisiatif ini juga bermatlamat untuk meningkatkan taraf hidup penduduk setempat,“katanya ketika merasmikan Program Sejiwa Senada 2018-Bahagian Saratok di sini, semalam.
Abang Johari berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) Sarawak juga prihatin dengan masalah tekanan air rendah yang sering membelenggu penduduk di Kabong, Sessang dan Saratok.
Berikutan itu, beliau mengumumkan peruntukan sebanyak RM87 juta bagi mengatasi masalah berkenaan.
“Ia akan dilaksanakan sementara menunggu pelaksanaan Grid Air Negeri bernilai RM8 bilion siap sepenuhnya kelak.
“Kita berharap usaha ini dapat menyelesaikan isu yang membelenggu penduduk sejak sekian lama,“katanya.
Beliau berkata, sistem grid air negeri akan menggunakan sumber air dari empangan hidroelektrik untuk membekalkan air kepada seluruh kawasan di Sarawak.
Katanya, pendekatan itu bertujuan menampung keperluan bekalan air terutama pada musim kemarau di samping mengelak sumber air dari sungai kerana ada antaranya tercemar.
“Kita turut membina jalan pesisir dari Samarahan ke Asajaya terus ke Sebuyau sehinggalah ke Kabong, Sessang dan Saratok.
“Begitu juga jambatan di Samarahan, Batang Sadong yang kini sudah siap selain membina Jambatan Batang Lupar dengan kos RM1 bilion.
“Walaupun harga projek ini membabitkan menelan kos yang besar tetapi kita tetap meneruskan pelaksanaannya kerana yakin ia mampu meningkatkan taraf ekonomi rakyat di samping mengubah landskap pembangunan Sarawak pada masa depan,” katanya.