REKOD TERTINGGI
Aliran masuk dana asing ke Bursa Malaysia RM429.80 juta
Aliran masuk dana asing ke Bursa Malaysia setakat Khamis lalu (19 April) mencecah rekod tertinggi satu tahun iaitu RM429.80 juta, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Beliau berkata di bawah kepemimpinan Barisan Nasional (BN), rekod terbabit berjaya dicapai walaupun terdapat penyebaran berita palsu mengenai ekonomi negara.
“Dalam pembangkang asyik sebar berita palsu mengenai ekonomi negara, pelabur asing dan pengurus dana terus yakin kepada Malaysia dan dasar ekonomi BN.
“Setakat khamis, aliran masuk dana asing ke Bursa Malaysia cecah rekod tertinggi satu tahun, RM429.80 juta,” kata Perdana Menteri dalam akaun Twitternya, semalam.
Sebelum ini, dilaporkan aliran masuk (bersih) mencatatkan 389.35 peratus lebih tinggi berbanding aliran masuk bersih RM87.83 juta yang dicatat Rabu lalu.
Setakat minggu ini, Bursa Malaysia mencatat jumlah aliran masuk bersih RM560.96 juta.
Di Asia, Malaysia berada di tempat ketiga selepas China dan India, yang menerima kemasukan dana asing setakat tahun ini sebanyak RM3.4 bilion.
Najib juga berkata, setakat 13 April tahun ini, rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia mencecah paras AS$110.0 bilion (AS$1=RM3.90).
Menurutnya, ia satu lagi bukti keyakinan terhadap kedudukan ekonomi negara dan dasar ekonomi kerajaan BN yang berkesan.
Dalam kenyataan sebelum ini, bank pusat berkata, rizab AS$110 bilion lebih tinggi berbanding AS$107.8 bilion pada 30 Mac 2018.
Kedudukan rizab itu mencukupi untuk membiayai 7.7 bulan import tertangguh dan 1.1 kali hutang luar jangka pendek. - BERNAMA